Infrasel guna teknologi satelit pantau cerun, jalan

SHAH ALAM - Negeri Selangor dijangka menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang menggunakan teknologi pemantauan cerun dan jalan yang canggih dengan memanfaatkan penggunaan satelit melalui Interferometric Synthetic Aperture Radar (InSAR).
Inisiatif itu terlaksana menerusi kerjasama strategik Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) dengan Geospatial AI Sdn Bhd (GeoAI), anak syarikat Uzma Berhad.
Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Infrasel, Mohamed Fariz Ghazali dari Infrasel manakala Mohammad Fadhli Jamaluddin mewakili GeoAI dan disaksikan oleh Pengurus Kanan Teknikal Infrasel, Ir Zainuddin Hussein.
Majlis MoU tersebut diadakan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25) (LIMA'25) pada 21 Mei lalu.

Menurut Mohamed Fariz, kerjasama itu selaras dengan Pelan Induk Cerun Negara yang menggariskan tindakan menguruskan dan mengawal risiko tanah runtuh serta meningkatkan keselamatan cerun di seluruh negara.
"Teknologi satelit InSAR berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dimiliki ini mampu menganalisis data satelit untuk memberikan amaran awal sebelum sebarang kejadian tanah runtuh berlaku," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau menambah, MoU itu juga membuktikan komitmen Infrasel mengintegrasikan teknologi terkini dalam pengurusan infrastruktur negeri Selangor.
"Teknologi ini lebih jimat dan berkesan berbanding kaedah konvensional kerana boleh memantau kawasan luas secara serentak tanpa perlu memasang peralatan di setiap lokasi," jelasnya.
Selain penjimatan kos, Infrasel berkeyakinan, kerjasama tersebut dapat mengoptimumkan penggunaan teknologi satelit dibangunkan oleh pakar tempatan yang dapat memastikan kedaulatan data (data sovereignty) dan mengurangkan aliran keluar tunai kepada syarikat luar negara.
Walaupun projek itu dijangka bermula di Selangor, ia berpotensi diperluaskan ke seluruh Malaysia untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengurangkan risiko bencana tanah runtuh.
InSAR merupakan teknologi moden yang menganalisis imej satelit menggunakan Radar Apertur Sintetik (SAR) untuk mengesan pergerakan tanah dengan ketepatan pada tahap milimeter (mm) merentasi kawasan luas.
Teknologi itu merupakan kaedah tidak invasif dan menjimatkan kos untuk mewujudkan sistem amaran awal bagi memantau dan menangani potensi kegagalan cerun dan taanh runtuh sebelum mencapai tahap kritikal.
Sementara itu, teknologi AI dapat diaplikasikan dalam sistem Road Network Defect Assessment (RONDA) yang dibangunkan Infrasel untuk memantau pengurusan infrastruktur jalan raya dan cerun.
Pemantauan selenggaraan jalan secara digital ini menarik perhatian Kerajaan Negeri Kedah menerusi lawatan kerja yang oleh pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah pada Mei lalu.
Delegasi itu diketuai Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang disertai oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah, Ir Mohd Fisal Ismail dan Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto.

Syed Khairol Anuar menjelaskan, lawatan strategik itu membuka ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri Kedah dan Infrasel untuk mempertingkatkan sistem pengaduan awam infrastruktur jalan raya yang lebih komprehensif dan responsif demi faedah pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!