Tiga ciri utama tanda memperoleh haji mabrur

Syarat utama untuk memperoleh haji mabrur ialah dengan menyempurnakan semua rukun dan wajib haji dengan baik serta meninggalkan segala larangan dalam ibadat tersebut.Gambar hiasan
Syarat utama untuk memperoleh haji mabrur ialah dengan menyempurnakan semua rukun dan wajib haji dengan baik serta meninggalkan segala larangan dalam ibadat tersebut.Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH – Syarat utama untuk memperoleh haji mabrur ialah dengan menyempurnakan semua rukun dan wajib haji dengan baik serta meninggalkan segala larangan dalam ibadat tersebut.

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, larangan itu termasuk tidak melakukan perkara yang Rafats iaitu melakukan hubungan badan ketika sedang ihram dan hal-hal yang mengarah kepadanya baik dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan, perkara kejahatan, fasik dan juga tidak berjidal ataupun berdebat iaitu berbantah-bantah ketika menunaikan haji.

Menurutnya, ulama meletakkan tiga ciri utama ataupun tanda-tanda bagi mereka yang memperoleh haji yang mabrur.

Yang pertama ialah seseorang itu akan menjadi jemaah haji yang dipanggil ‘tayyibul kalam’.

Katanya, ia bermaksud, jemaah haji berkenaan menjaga lidahnya daripada perkataan yang tidak baik sama ada memaki hamun, mengata orang dan sebagainya.

“Tanda yang kedua ialah dia menjadi ejen kepada kebaikan atau disebut ‘ifsyaus-salam’ ataupun menyebarkan kedamaian.

“Dia bukan hanya menyampaikan salam, assalamualaikum tapi dia juga menjadi orang-orang yang sentiasa mengajak kepada kedamaian dan tidak melakukan persengketaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Abraj Al Janadriah di sini.

Shahrin berkata, tanda ketiga adalah ‘ita'amu ta'am’ iaitu suka memberi makan terutama kepada orang yang memerlukan

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat, semasa musim haji ini ramai yang bersedekah bagi sabil dan sebagainya.

“Itu perlu diteruskan sebab sebahagian tanda haji yang mabrur bukan hanya di Tanah Suci tetapi apabila balik ke Malaysia pun mereka akan terus membantu ataupun dipanggil kepedulian sosial membantu orang-orang yang memerlukan terutamanya dari segi makan,” ujarnya lagi.

Katanya, mengikut Imam Hassan al-Basri, jemaah yang mendapat haji mabrur adalah mereka yang zuhud terhadap dunia.

“Mereka ini juga adalah orang yang ghairah kepada akhirat,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, perkataan al-mabrur diambil daripada perkataan al-birr yang bermaksud kebaikan dan kebajikan.

Menurutnya lagi, jemaah haji mabrur ialah orang-orang yang abrar (baik) dan dalam al-Quran banyak disebut mereka yang masuk syurga ialah orang-orang yang baik.

“Mereka menjadi jemaah yang lebih baik bukan sahaja dengan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri malah menjadi ejen perubahan kepada keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia.

“Itu rahsia atau hikmah daripada ibadah haji sebagai Rukun Islam kelima yang menjadikan dunia ini lebih baik apabila jemaah yang menunaikan haji faham dan melaksanakan ketaatan serta pengorbanan menyebarkan kebaikan kepada orang lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!