Terap amalan tolak rasuah sejak kecil

SHAH ALAM - Amalan menolak rasuah perlu diterapkan sejak kecil dalam usaha negara melahirkan generasi bebas rasuah kerana gejala itu diibaratkan seperti bom jangka yang mampu menghancurkan negara tanpa disedari.
Pengerusi Gabungan Ideologi Anak Padang Terap, Ku Mohd Fikri Hanif berkata, sejarah membuktikan rasuah merupakan salah satu punca utama kejatuhan sesebuah tamadun.
Menurutnya, walaupun masyarakat menyedari bahawa amalan memberi dan menerima rasuah adalah salah, ramai tidak memahami kesan mendalam yang tertinggal akibat perbuatan durjana berkenaan.
"Justeru, proses mendidik rakyat untuk membenci rasuah tidak boleh ditangguhkan dan mesti bermula seawal usia kecil termasuk di tadika dan rumah.
"Pendidikan nilai murni tidak sepatutnya terbatas kepada amalan biasa seperti larangan mencuri atau minum arak, tetapi perlu diperluas kepada perbuatan rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Madani amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa, tetapi pembaharuan untuk memerangi ancaman itu akan memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil.
Bagi memastikan mesej Perdana Menteri dalam membanteras rasuah sampai, Ku Mohd Fikri turut mencadangkan pendekatan visual kreatif digunakan seperti dalam usaha mempromosi kempen kesedaran bahaya merokok.
Beliau turut menegaskan perlunya isu rasuah diangkat sebagai agenda nasional melibatkan semua peringkat agar masyarakat cakna dan serius dalam usaha membanterasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!