Tiada sekatan Fahmi Reza keluar negara, hanya larangan ke Sabah - KP Imigresen

SHAH ALAM - Tiada sekatan terhadap aktivis dan pereka grafik bebas, Fahmi Reza untuk keluar negara, sebaliknya sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum berhubung hantaran media sosial dan laporan media melibatkan seorang individu yang mendakwa telah dihalang daripada meninggalkan negara pada 6 Jun 2025.
Katanya, pihak JIM ingin memaklumkan bahawa tiada halangan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara.
"Namun begitu, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.
"Jabatan ini juga mengambil maklum berkenaan kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Zakaria, hal ini timbul kerana portal versi bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian.
Menurutnya, justeru itu, portal versi bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut.
"Pihak jabatan sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna," ujarnya.
Tegasnya, JIM sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang dengan menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek penyampaian perkhidmatan.
Baru-baru ini, Fahmi mempersoalkan ketelusan sistem JIM dengan menunjukkan hasil semakan terbaharu di laman web JIM, yang memaparkan mesej “sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat” — menandakan wujud sekatan aktif terhadap dirinya.
Fahmi mendakwa semakan menerusi versi bahasa Inggeris laman web sama menunjukkan keputusan berbeza iaitu “no restriction” (tiada sekatan), manakala versi bahasa Melayu pula meminta rujukan ke pejabat imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
