Pembantu kedai didakwa menyamar individu lain sewa kedai

SEREMBAN - Seorang pembantu kedai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menyamar sebagai individu lain dengan menyewa sebuah premis, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Chong Chee Wai, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu bagi mendapatkan premis sewaan kedai dengan cara menyamar iaitu menyatakan dirinya adalah individu yang bertanggungjawab menyewa premis tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tuanku Munawir di sini pada 21 Disember 2017.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam, Joseph Mathew memohon jaminan yang paling rendah memandangkan anak guamnya menghidap sakit jantung dan perlu menanggung keluarga.
Beliau berkata, tertuduh juga menjaga ibunya yang telah uzur dan dua orang anak yang masih kecil.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi sebelum itu memohon jaminan yang setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

