Pesawat Air India hantar isyarat 'mayday' sebelum terhempas

AHMEDABAD - Sebuah pesawat Air India dalam penerbangan ke London terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India, pada tengah hari Khamis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jeneral Penerbangan Awam India (DGCA), juruterbang pesawat itu sempat mengeluarkan isyarat kecemasan ‘mayday’ menerusi komunikasi radio sebelum hilang hubungan dengan menara kawalan dan seterusnya terhempas.
Isyarat mayday merupakan panggilan kecemasan antarabangsa yang menandakan situasi mengancam nyawa.
Pesawat malang berkenaan, yang menggunakan kod penerbangan AI171, merupakan sebuah Boeing 787 Dreamliner yang berlepas dari landasan 23 pada jam 1.39 tengah hari waktu tempatan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, United Kingdom.
Seramai 242 individu berada dalam pesawat, termasuk dua juruterbang, 10 anak kapal dan 230 penumpang.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah kematian atau kecederaan yang berlaku akibat nahas tersebut.
Pakar penerbangan, Sanjay Lazar, ketika mengulas insiden itu kepada NDTV, berkata kegagalan teknikal dipercayai berlaku ketika pesawat berada pada ketinggian rendah sekitar 825 kaki, iaitu hanya beberapa saat selepas berlepas.
DGCA turut memaklumkan bahawa pesawat itu dikendalikan oleh Kapten Sumeet Sabharwal yang mempunyai 8,200 jam pengalaman penerbangan, manakala pembantu juruterbang, Clive Kundar, mencatatkan 1,100 jam penerbangan.
Rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di media sosial menunjukkan pesawat menjunam ke kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang sebelum meletup dan disusuli kepulan asap hitam pekat naik ke udara.
Lebih dua dozen ambulans digerakkan ke lokasi kejadian sejurus selepas nahas berlaku, dan pihak polis mengalihkan lalu lintas bagi memudahkan operasi kecemasan dan menyelamat.
Air India dalam kenyataan susulan menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan penumpang, seramai 169 merupakan warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.
“Penumpang yang cedera sedang dibawa ke hospital terdekat untuk rawatan. Kami juga telah membuka talian bantuan khas 1800 5691 444 bagi memudahkan ahli keluarga mendapatkan maklumat lanjut. Air India akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan nahas ini,” menurut kenyataan tersebut. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!