Bekalan kelapa di Kelantan stabil, kualiti santan meningkat

Bekalan kelapa dan santan di pasaran Kelantan kembali stabil selepas sambutan Aidiladha. Foto Ihsan Pembaca
Bekalan kelapa dan santan di pasaran Kelantan kembali stabil selepas sambutan Aidiladha. Foto Ihsan Pembaca
A
A
A

KOTA BHARU – Bekalan kelapa dan santan di pasaran Kelantan kembali stabil selepas sambutan Aidiladha, berbanding gangguan yang berlaku menjelang perayaan Aidilfitri lalu.

Menurut Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, harga borong kelapa biji kekal pada RM2.30 sekilogram, manakala harga santan masih di paras RM17 sekilogram.

“Masalah pembekalan sebelum ini berpunca daripada tempoh perayaan dan cuti yang terlalu rapat, termasuk Ramadan dan Aidilfitri. Ketika itu, permintaan sangat tinggi dan bekalan terpaksa diambil dari luar Semenanjung iaitu Sabah serta Sarawak.

“Tetapi sekarang, permintaan telah berkurang dan bekalan semakin stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil tamat Latihan Peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kepada 203 bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia di Nilam Puri, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas isu serangan perosak seperti kumbang merah terhadap kelapa sebelum ini, kata beliau, perkara terbabit tidak berada di bawah pengurusan Fama, sebaliknya dikawal oleh Jabatan Pertanian.

“Bagaimanapun, dari segi kualiti pula, kelapa yang dibekalkan kepada kami kini berada pada tahap yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fama Kelantan turut membuka ruang kerjasama lebih luas kepada bekas anggota tentera dan peserta Perhebat yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Fama menyediakan pelbagai platform termasuk Pasar Tani, Agro Bazaar Online, dan ruang niaga di Pusat Transformasi Luar Bandar yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan veteran.

“Kami sediakan ruang pemasaran kepada peserta Perhebat. Mereka boleh mohon tapak niaga, terlibat dalam promosi atau menjadi usahawan bimbingan Fama.

“Bagi peserta yang menceburi pertanian seperti penanaman timun dan sebagainya, mereka boleh membekalkan hasil kepada pusat operasi Fama dan kami bantu dari sudut pemasaran,” katanya.

Tambah beliau, Fama mengadakan banyak sesi taklimat kepada peserta Perhebat walaupun belum mempunyai data lengkap jumlah mereka yang aktif berniaga di bawah Fama setakat ini.

“Kami galakkan mereka sertai, terutama kerana bekas anggota tentera ada pelbagai kemahiran dalam bidang kejuruteraan, teknologi, logistik dan inovasi.

“Mereka boleh menjadi rakan niaga atau pembekal dalam ekosistem agro-pemasaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!