Permintaan santan meningkat, kerajaan jamin bekalan terkawal - Fuziah

KUANTAN – Permintaan santan dalam negara terus meningkat, dengan kadar penggunaan per kapita rakyat Malaysia kini mencecah 24.9kg setahun.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, walaupun bekalan tempatan hanya memenuhi 70 peratus keperluan domestik, kerajaan memberi jaminan bekalan masih terkawal.
Menurutnya, pengeluaran kelapa tempatan terjejas akibat musim melawas, menyebabkan produktiviti tidak mencapai tahap biasa.
"Kita hasilkan 70 peratus bekalan kelapa tempatan, manakala selebihnya 30 peratus adalah diimport, akan tetapi disebabkan ada masalah dari segi musim melawas menyebabkan produktiviti tidak mencapai pengeluaran seperti biasa.
"Maka kita terpaksa meningkatkan import (kelapa) dari luar, jadi inilah keadaan yang kita (sedang) hadapi, tapi ia masih terkawal kerana mengambil langkah meningkatkan import (diambil) bagi memastikan bekalan mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan rasmi sebuah pasar raya di Indera Mahkota di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengarah KPDN, Pahang Jezlily Jamaluddin.
Fuziah memaklumkan bagi memastikan tiada pencatutan dalam rantaian bekalan, pihaknya telah mengeluarkan 47 notis kepada pemborong, peruncit dan pengimport kelapa serta santan segar bagi mendapatkan maklumat harga yang dikenakan di setiap peringkat.

Jelasnya, notis ini bukan bukti berlakunya pencatutan tetapi sebagai langkah awal bagi KPDN menyimpan data harga.
"Ini membolehkan kita membuat perbandingan sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Jika didapati terdapat unsur pencatutan selepas siasatan dilakukan, tindakan akan diambil mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, kawalan harga dan bekalan padi serta beras adalah di bawah bidang kuasa penuh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Jelas beliau, KPDN tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam penguatkuasaan berkaitan komoditi tersebut.
“KPDN hanya bertindak dalam aspek pemantauan harga dan pencatutan bagi barangan yang berada dalam bidang kuasa kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

