Sekretariat Himpun desak pinda Akta Perhimpunan

Arutchelvan (tiga dari kanan), Muhammad Faisal (empat dari kanan) dan Kueng Hui (empat dari kiri) ketika sidang akhbar dan pelancaran kempen Rampas Ruang Awam di Rumah Mandiri, Petaling Jaya pada Khamis.
Arutchelvan (tiga dari kanan), Muhammad Faisal (empat dari kanan) dan Kueng Hui (empat dari kiri) ketika sidang akhbar dan pelancaran kempen Rampas Ruang Awam di Rumah Mandiri, Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A
PETALING JAYA - Sekretariat Himpun yang terdiri daripada sembilan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan menerusi kempen Rampas Ruang Awam.

Jurucakap gabungan merangkap Penyelaras Mandiri, Wong Kueng Hui berkata, tiga tuntutan tersebut termasuk memberi pengiktirafan terhadap hak untuk mengadakan perhimpunan spontan tanpa sebarang keperluan notis kepada pihak polis.

Menurutnya, undang-undang sedia ada yang menetapkan notis lima hari sering digunakan untuk menyekat reaksi segera terhadap isu-isu mendesak.

“Maka, pindaan perlu memperuntukkan secara jelas bahawa perhimpunan spontan dikecualikan daripada sebarang kewajipan memberi notis.

“Tuntutan kedua kami berkaitan pemansuhan peruntukan hukuman terhadap penganjur dan peserta perhimpunan aman, termasuk pindaan terhadap peruntukan yang menjadikan ketidakpatuhan prosedur — seperti tidak memberi notis — sebagai satu kesalahan, walaupun perhimpunan berlangsung secara aman.

“Prinsip utama yang perlu ditegakkan adalah ‘peaceful by default’, iaitu perhimpunan tidak patut dianggap sebagai satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar dan pelancaran rasmi Kempen Rampas Ruang Awam di Rumah Mandiri, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dan beberapa wakil NGO lain.

Untuk rekod, Sekretariat Himpun merangkumi sembilan NGO iaitu Mandiri, Bersih, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Federasi Pemuda Kebangsaan, Gerakan Perempuan Melawan, Lawyers for Liberty (LFL), Liga Mahasiswa Malaysia, Mahasiswa Demokratik Malaysia dan PSM.

Mengulas lanjut, Kueng Hui berkata, tuntutan ketiga sekretariat itu melibatkan pindaan terhadap larangan bersifat diskriminatif dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Ini termasuk peruntukan dalam akta ini yang melarang individu bawah umur 21 tahun daripada menganjurkan perhimpunan serta peluasan hak untuk berhimpun kepada bukan warganegara.

“Tuntutan ini dibuat kerana undang-undang yang ada hari ini lebih cenderung mengawal berbanding melindungi hak untuk berhimpun.

“Penindasan terhadap perhimpunan aman boleh menjadi petunjuk awal kepada kemerosotan demokrasi dan kebangkitan autoritarianisme,” ujarnya.

Tambah Kueng Hui, kempen tersebut dibuat susulan keperluan mendesak untuk memulihkan kembali ruang demokrasi rakyat yang didakwa selama ini disempitkan oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736.

“Sekretariat ini akan bertindak sebagai badan pemantau bebas, meletakkan standard hak asasi manusia dan prinsip keselamatan rakyat sebagai asas reformasi akta ini menjelang sesi Parlimen pada Oktober akan datang.

“Kami menegaskan bahawa kerajaan wajib menjalankan libat urus secara telus dalam proses pindaan akta ini bersama pemegang taruh, selaras dengan prinsip akauntabiliti dan demokrasi berpartisipasi, agar pindaan yang dibuat benar-benar mencerminkan suara rakyat,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!