Hibah, pengurusan harta pusaka perlu dilaksanakan serentak – Ariffin

Ariffin ketika mengadakan sidang akhbar berkaitan kes viral hibah takaful terbatal yang diadakan pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ariffin ketika mengadakan sidang akhbar berkaitan kes viral hibah takaful terbatal yang diadakan pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SUBANG – Proses pelaksanaan hibah dan pengurusan harta pusaka mengikut undang-undang sivil perlu dilakukan secara serentak bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah), Ariffin Sabirin berkata, kedua-dua proses tersebut saling melengkapi, terutama selepas proses pengurusan harta pusaka selesai dan hak waris telah disahkan.

Menurut beliau, isu hibah takaful yang tular baru-baru ini merupakan isu teknikal perundangan yang hanya melibatkan hibah manfaat takaful semata-mata, yang berkait dengan keabsahan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“Saya percaya akan ada proses perundangan lanjutan daripada kes ini dan masyarakat perlu memberi ruang agar proses itu berjalan sebelum membuat sebarang kesimpulan akhir.

“Kes ini tidak melibatkan kami (Wasiyyah), namun, bagi urusan hibah harta yang dilakukan oleh Wasiyyah, kami masih mengekalkan modus operandi yang sedia ada dan inisiatif penambahbaikan sentiasa akan dibuat,” katanya pada sidang media khas di Kelab Golf Negara, Subang pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tular di media sosial yang membabitkan kes hibah takaful bernilai RM1 juta yang dicabar di Mahkamah Tinggi Sivil.

Kes tersebut bermula apabila seorang peserta takaful yang meninggal dunia memiliki polisi bernilai RM1 juta dan menamakan isterinya sebagai penerima hibah bersyarat atau ‘Hibah Nomination’.

Selepas tuntutan hibah diluluskan oleh syarikat takaful, balu arwah menerima pampasan seperti yang dinyatakan dalam penamaan hibah. Namun, perkara itu tidak dipersetujui oleh keluarga arwah.

Susulan itu, keluarga arwah membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk membatalkan hibah tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa hibah itu tidak sah dari sudut undang-undang sivil dan wang pampasan perlu diuruskan mengikut hukum faraid.

Artikel Berkaitan:

Ariffin berpendapat bahawa masyarakat kini perlu lebih sedar mengenai kepentingan bukan sahaja membuat hibah, tetapi juga memastikan urusan pentadbiran harta pusaka melibatkan Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil turut dilaksanakan.

Namun, katanya, Perkara 121(1A) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa urusan berkaitan hukum syarak adalah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

“Justeru, semua pengesahan hibah perlu dilakukan di mahkamah syariah,” tambahnya.

“Peruntukan itu memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menentukan keabsahan sesuatu hibah. Sebagai syarikat amanah patuh syariah yang berpengalaman, kami faham sepenuhnya bahawa terdapat bidang kuasa eksklusif di antara kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya.

“Kerana itu, proses hak ini perlu diselesaikan secara menyeluruh dari A hingga Z. Tidak boleh tergantung, jika tergantung, pihak lain akan merasakan hak mereka wujud dan akan mengemukakan permohonan, dan itu yang menjadikan kes berpanjangan,” ujarnya lagi.


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!