'Tiada komen, itu semua proses undang-undang' - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Graduan Bidang Seni Halus Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, NUANSA di GMBB, Bukit Bintang pada Rabu.
Tengku Zafrul ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Graduan Bidang Seni Halus Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, NUANSA di GMBB, Bukit Bintang pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz enggan mengulas berhubung isu permohonan pengampunan kali kedua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau tidak ingin memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu memandangkan ia sebahagian daripada proses perundangan negara ini.

"Saya tiada komen mengenai isu tersebut. Itu semua proses undang-undang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Graduan Bidang Seni Halus Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, NUANSA di GMBB, Bukit Bintang pada Rabu.

Barisan peguam Najib pada Rabu mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua kepada Seri Paduka Baginda.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun permohonan itu tidak harus menjejaskan hak yang ada dalam Titah Adendum sebelum ini.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib yang juga bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!