Bekas pendaftar universiti swasta dituduh palsu dokumen lebih RM800,000

Bekas pendaftar universiti swasta di Perlis didakwa atas 36 pertuduhan memalsukan dokumen untuk mengeluarkan RM826,000 - Gambar hiasan
Bekas pendaftar universiti swasta di Perlis didakwa atas 36 pertuduhan memalsukan dokumen untuk mengeluarkan RM826,000 - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas pendaftar sebuah universiti swasta di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas 36 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mengeluarkan wang berjumlah lebih RM800,000 milik institusi pengajian tinggi terbabit.

Mohd Fairuz Al-Fatah Badarudin, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh yang juga bekas pegawai khas di universiti berkenaan didakwa memalsukan dokumen berupa ‘Surat Kebenaran’ (Authorisation Letter) bernilai keseluruhan RM826,481.29 dengan niat untuk menipu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Raja Chulan, di sini, antara 20 Jun 2022 hingga 10 Julai 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Sivajothi Pillai yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum.

Menurutnya, Mohd Fairuz kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi latihan penerbangan dan perlu menyara dua anak kembar berusia 10 tahun manakala isterinya tidak bekerja selepas mengalami kecederaan patah kaki kiri akibat kemalangan.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Julai depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!