Ahmad Alif Syazwi dinobat Ikon Doktor Muda

Ahmad Alif Syazwi Amizan (tengah) dipilih sebagai Ikon Doktor Muda pada Konvensyen Kesihatan Antarabangsa Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu Malaysia bersama Dokter Kecil Sekolah Dasar Muhammadiyah 15 di Surabaya, Indonesia.
Ahmad Alif Syazwi Amizan (tengah) dipilih sebagai Ikon Doktor Muda pada Konvensyen Kesihatan Antarabangsa Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu Malaysia bersama Dokter Kecil Sekolah Dasar Muhammadiyah 15 di Surabaya, Indonesia.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Apal, Besut, Ahmad Alif Syazwi Amizan dipilih sebagai Ikon Doktor Muda pada Konvensyen Kesihatan Antarabangsa yang berlangsung di Surabaya, Indonesia minggu lalu.

Konvensyen Kesihatan Antarabangsa Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu Malaysia bersama Dokter Kecil Sekolah Dasar Muhammadiyah 15 itu diadakan di Sekolah Inspiratif SD Muhammadiyah 15, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia selama empat hari bermula 4 Mac.

Konvensyen itu disertai 26 ahli Kelab Doktor Muda Terengganu terdiri daripada murid berumur 9 hingga 12 tahun melibatkan lapan sekolah iaitu SK Jerong, SK Bukit Payong, SK Padang Mengkuang, SK Tok Jiring, SK Pasir Akar, SK Bukit Puteri, SK Bukit Kenak dan SK Apal.

Ketua Kontinjen, Mahdalina Jamil berkata, lapan acara dipertandingkan dalam konvensyen itu dengan lima daripadanya dimenangi peserta dari Terengganu iaitu kuiz kesihatan, deklamasi sajak, mewarna dan pertolongan cemas.

“Kita turut memenangi Peta i-Think Kesihatan yang merupakan anugerah tertinggi dengan Ahmad Alif Syazwi dinobatkan sebagai Ikon Doktor Muda atas dasar mempunyai watak pemimpin dan mampu memimpin rakan sebaya.

“Selain itu, kriteria lain yang dilihat adalah sikap berani ke hadapan, mampu melontarkan idea secara spontan, berdikari, bekerjasama, menepati masa dan akhlak dan budi bahasa yang sopan,” katanya kepada Sinar Harian.

Lapan acara dipertandingkan dalam konvensyen itu dengan lima daripadanya dimenangi peserta dari Terengganu.
Lapan acara dipertandingkan dalam konvensyen itu dengan lima daripadanya dimenangi peserta dari Terengganu.

Seramai 26 murid ahli Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu itu ditemani enam guru pengiring bagi bersama-sama menjayakan program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mahdalina yang juga guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Jerong berkata, program itu memberi pendedahan kepada ahli Kelab Doktor Muda mengenali sistem pendidikan dan program kesihatan di luar negara.

Selain itu katanya, program dirasmikan Kepala Sekolah Dasar Muhammadiyah 15, Muhammad Natsir M Pd I itu juga mampu memperkasakan fungsi Kelab Doktor Muda sekolah sebagai ejen penyebaran informasi kesihatan.

“Program ini selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya sekolah di Malaysia berkolaborasi dengan sekolah luar negara yang mana ia merupakan salah satu syarat untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan merupakan pencapaian ke peringkat yang tertinggi untuk pemarkahan PAJSK mereka.

“Ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri pelajar dan menaikkan nama sekolah di persada antarabangsa. Acara konvensyen kali ini adalah yang terbaik selepas program di Vietnam dan Acheh,” katanya.

Antara peserta yang menyertai Konvensyen Kesihatan Antarabangsa Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu Malaysia bersama Dokter Kecil Sekolah Dasar Muhammadiyah 15 di Surabaya, Indonesia.
Antara peserta yang menyertai Konvensyen Kesihatan Antarabangsa Kelab Doktor Muda Negeri Terengganu Malaysia bersama Dokter Kecil Sekolah Dasar Muhammadiyah 15 di Surabaya, Indonesia.