Pegawai insurans rugi RM54,950 terjerat tawaran komisen tinggi

JOHOR BAHRU - Seorang wanita kerugian RM54,950 selepas terperdaya dengan peluang pekerjaan sambilan dalam talian yang menawarkan komisen tinggi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian bermula pada 30 Mei lalu apabila mangsa berusia 32 tahun yang bertugas sebagai pegawai kualiti insurans tertarik dengan iklan tawaran komisen menarik yang dipaparkan di Facebook.
Jelas beliau, mangsa seterusnya menekan pautan tersebut dan menyertai satu kumpulan WhatsApp yang menawarkan peluang kerja itu.
"Mangsa dijanjikan komisen yang tinggi antara 10 hingga 35 peratus dalam tempoh singkat.
"Terperdaya dengan tawaran tersebut, mangsa telah melakukan 16 transaksi ke dalam 10 akaun bank berlainan antara 30 Mei hingga 3 Jun lalu, dengan jumlah keseluruhan mencapai RM54,950.
"Setelah melakukan transaksi, mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan hasil komisen yang sepatutnya diterima, namun gagal mendapat bayaran seperti dijanjikan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas usaha untuk mendapatkan semula wang modal dan komisen yang dijanjikan gagal.
Beliau kemudian membuat laporan polis pada 5 Jun lalu.
"Siasatan awal mendapati enam daripada 10 akaun yang terlibat mempunyai rekod kes penipuan pekerjaan sambilan berdasarkan platform Semak Mule CCID.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
"Pastikan semak dahulu kesahihan syarikat pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat pembayaran," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram, dan TikTok untuk mengetahui modus operandi jenayah komersial terkini.
"Jika menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 untuk menghalang pengaliran keluar wang dari akaun suspek," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!