Jangan pandang remeh, lembu sudah disembelih masih berbahaya

MERAK Jalanan perhatikan setiap kali musim Aidiladha, suasana di kawasan penyembelihan korban sentiasa meriah yang memperlihatkan perpaduan serta kesatuan umat Islam melaksanakan ibadah.
Namun, dalam kemeriahan itu, Merak Jalanan juga tidak lupa pesan ‘orang lama’ yang selalu dingatkan setiap tahun; “Jangan sesekali duduk atau berdiri di belakang kaki lembu, walaupun ia sudah disembelih.”
Mula-mula dengar, macam pelik. Haiwan dah disembelih sudah nazak, tidak mungkin mampu menendang.
Apabila ditanya tukang sembelih berpengalaman, Merak Jalanan mula faham ia bukan soal logik semata-mata. Ini tentang keselamatan yang sudah terbukti dengan pengalaman.
Kata mereka, lembu yang disembelih kadang-kadang boleh meronta dalam saat akhir, reflek ototnya masih hidup.
Kaki belakang yang nampak lemah itu, sekali hayun boleh patah tulang orang. Bukan sekali dua kejadian macam ini berlaku dan ada yang cedera hanya sebab cuai beberapa saat.
Apa yang kelihatan ‘dah selamat’ belum tentu benar-benar selamat.
Merak Jalanan rasa ini satu pengajaran besar. Dalam hidup, jangan terlalu cepat anggap sesuatu itu tidak berbahaya hanya kerana ia nampak tenang.
Pengalaman orang lama dalam soal korban ini bukan mitos. Ia ilmu praktikal yang patut diingatkan saban tahun.
Merak Jalanan juga perhatikan, ramai anak muda yang terlalu teruja hendak ambil bahagian dalam korban tetapi lupa untuk bertanya dan belajar selok-belok keselamatan.
Bila kita melibatkan diri dalam ibadah korban biarlah bukan sekadar niat ikhlas yang dibawa tetapi ilmu dan sikap berhati-hati kerana ia bukan saja tentang sembelih lembu sebaliknya mendidik jiwa untuk taat, tunduk dan belajar daripada pengalaman.
Pesan Merak Jalanan, jangan berani membuta tuli sebab lembu pun ada tendangan terakhirnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
