Lembu seludup cemar nilai ibadah korban

IBADAH korban yang menjadi tunjang utama Aidiladha bukan sekadar simbolik penyembelihan haiwan ternakan, malah ia adalah manifestasi ketaatan dan pengorbanan seorang hamba kepada ALLAH SWT.
Namun, menjelang perayaan ini, kebimbangan terhadap isu penyeludupan haiwan korban mencuri perhatian. Kegiatan haram ini bukan sahaja mencemarkan nilai ibadah korban, malah berisiko mendatangkan kesan buruk dari sudut kesihatan, keselamatan dan perundangan.
Masyarakat Islam perlu lebih peka dan cakna terhadap sumber haiwan korban yang dibeli. Soal halal dan sah bukan sahaja tertakluk kepada kaedah penyembelihan, tetapi bermula sejak awal proses pemilikan haiwan tersebut.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, umat Islam bertanggungjawab memastikan haiwan korban diperoleh daripada sumber yang sah dari segi syarak dan undang-undang.
Kata beliau, jika lembu itu diperoleh melalui penyeludupan, ia bermakna datang daripada jalan yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Beliau menjelaskan bahawa dari sudut hukum fiqah, ibadah korban tetap sah selagi haiwan tersebut memenuhi syarat seperti cukup umur, tiada kecacatan dan disembelih mengikut kaedah syarak.
Namun, jika diperoleh melalui jalan haram, maka timbul isu lain berkaitan pemilikan tidak sah dan kesan terhadap keberkatan ibadah. Ia boleh menyebabkan dosa lain kerana mengambil manfaat daripada perbuatan jenayah. Islam sangat menekankan ketaatan kepada undang-undang selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Tambah beliau, adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mencari alternatif haiwan korban daripada sumber yang sah, walaupun mungkin harganya lebih tinggi, demi memastikan keberkatan serta maqasid syariah ibadah tersebut terpelihara.
Kegiatan penyeludupan haiwan korban bukan lagi rahsia. Di Kelantan sahaja, hampir 20 laluan tikus dikenal pasti aktif digunakan oleh sindiket untuk membawa masuk lembu dari Thailand secara haram, dedah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Laluan sempit dan cetek di kawasan Jeli dan Rantau Panjang memberi kelebihan kepada penyeludup untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pada malam Selasa lalu pula, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan lembu menggunakan kenderaan diubah suai tanpa dokumen pemindahan sah.
Situasi ini menunjukkan betapa licik dan tersusunnya rangkaian sindiket penyeludupan haiwan, yang sanggup memperjudikan kesihatan awam demi keuntungan mudah.
Paling merisaukan, lembu yang diseludup melalui laluan tidak sah ini berisiko tinggi membawa penyakit berbahaya seperti anthrax. Polis Kelantan sebelum ini mendedahkan kewujudan kes kematian akibat jangkitan tersebut di Thailand pada 1 Mei lalu.
Anthrax yang disebabkan oleh bakteria bacillus anthracis boleh menjangkiti haiwan dan manusia. Penyakit ini boleh membawa maut dan mudah tersebar jika kawalan sempadan tidak diperketat.
Membeli lembu korban semata-mata kerana harga yang murah tanpa mengambil kira aspek keselamatan jelas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Permintaan tinggi menjelang Aidiladha telah membuka ruang luas kepada sindiket haram untuk terus bermaharajalela. Dalam mengejar keuntungan, ada penternak dan pengusaha sanggup mempertaruhkan kesihatan pengguna.
Justeru, usaha membanteras penyeludupan haiwan korban memerlukan komitmen menyeluruh, bukan hanya daripada pihak berkuasa, tetapi juga masyarakat umum.
Umat Islam juga perlu menyokong penternak sah dan pembekal bertauliah, walaupun dengan kos yang sedikit tinggi. Inilah pengorbanan sebenar yang menepati roh Aidiladha.
Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi juga lambang tanggungjawab moral, sosial dan keagamaan umat Islam.
Dalam kesibukan menyambut hari raya korban, jangan sesekali kita mengorbankan nilai amanah dan keselamatan demi keuntungan jangka pendek.
* Siti Shamila Che Zahari ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
