Mula sebagai 'bidan terjun', kini Ahmad handal menyembelih lembu

REMBAU - Pengalaman menjadi ‘bidan terjun’ menyembelih lembu korban pada usia 32 tahun menjadi permulaan kepada Ahmad Ibrahim, 59, untuk bergelar penyembelih tetap setiap kali Aidiladha.
Kejadian itu berlaku apabila imam yang sepatutnya melaksanakan tugasan penyembelihan lewat tiba kerana masih belum selesai tugasan di tempat lain.
Menurut Penolong Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Tampin itu, beliau telah mempelajari ilmu penyembelihan sejak zaman persekolahan, namun hanya berpengalaman menyembelih ayam sebelum itu.

“Arwah emak saya memang tiap-tiap tahun buat korban, tapi pada satu pagi raya itu, tok imam yang dipertanggungjawabkan untuk sembelih lembu itu lambat datang.
“Mungkin pada hari itu banyak tempat yang dia perlu pergi, jadi arwah emak akhirnya minta saya sembelih, dan itu menjadi permulaan untuk saya menyembelih haiwan korban,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, beliau mengakui agak gementar pada mulanya, namun selepas dipertanggungjawabkan setiap tahun, tugas itu kini menjadi rutin.
Jelasnya, jumlah lembu korban paling banyak pernah disembelihnya dalam tempoh satu hari ialah 11 ekor, iaitu dua tahun lalu.
“Kalau satu hari itu banyak haiwan korban yang perlu disembelih, saya akan bawa beberapa bilah parang.
“Setakat ini, belum pernah saya berdepan dengan sebarang insiden yang tidak diingini dan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Tambah bapa kepada tiga anak itu, menjadi amalannya untuk menunaikan solat hajat pada malam sebelumnya bagi memohon kepada Allah agar urusan penyembelihannya dipermudahkan.

Selain itu, beliau juga akan memastikan dirinya berada dalam keadaan berwuduk dan membaca doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, serta mengamalkan beberapa sunnah lain sebelum menyembelih.
“Saya juga akan pastikan haiwan korban itu benar-benar dalam keadaan tenang, barulah saya akan sembelih,” katanya.
Ahmad juga tidak keberatan untuk melabur dalam membeli parang berkualiti bagi tugasan menyembelih, dan pernah memiliki kira-kira 50 koleksi parang.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan koleksi itu telah dijual kepada rakan-rakan yang berminat.
Sementara itu, untuk ibadah korban kali ini, beliau telah diamanahkan untuk menyembelih sembilan ekor lembu pada hari raya pertama dan empat ekor lagi pada hari raya kedua di kampungnya di Penajis, Rembau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

