11 nahas ngeri bas di Malaysia dengan jumlah korban tinggi

SHAH ALAM - Kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi Isnin yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 terkorban antara kemalangan maut yang meragut nyawa tertinggi di Malaysia.
Dalam tempoh 29 tahun bermula tahun 1996 hingga ke hari ini, sebanyak 11 kemalangan ngeri melibatkan nahas bas dan kenderaan lain dengan jumlah korban tinggi direkodkan iaitu keseluruhan kematian sebanyak 163 individu.
Tragedi pada 21 Ogos 2013 merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 37 termasuk pemandu bas maut, 16 cedera apabila bas membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur.
Kemalangan kira-kira jam 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang menawarkan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu menuju ke ibu kota.
Berikut kronologi kes kemalangan lain di negara kita yang menyebabkan jumlah korban yang ramai dalam tempoh 29 tahun bermula tahun 1996:
Julai 1996: 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.
23 November 2003 - 14 maut, 30 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan bas lain di KM68,Jalan Lipis-Merapoh (Laluan Persekutuan 8 LP 8) berdekatan sempadan Pahang-Kelantan.
30 Julai 2006 - 11 maut, 35 cedera, termasuk sembilan parah apabila bas persiaran dinaiki terbalik di KM160.8 Lebuh Raya PLUS di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
13 Ogos 2007 - 20 penumpang maut, sembilan parah selepas bas ekspres dinaiki terbabas dan terbalik di KM229 Lebuh Raya PLUS, dekat Bukit Gantang, Perak.
13 April 2009 - 6 terbunuh apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM443 di Lebuh Raya PLUS dekat Rawang, Selangor.
26 Disember 2009 - 10 penumpang maut, dua lagi cedera termasuk seorang parah apabila sebuah bas dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh Raya PLUS arah utara, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan di Ipoh, Perak.
29 Oktober 2010 - 7 maut, 20 cedera selepas sebuah bas pelancongan terbabas lalu terbalik di KM3.8 Genting Sempah ketika menuruni Genting Highlands.
10 Oktober 2010 - 12 maut, lebih 40 cedera kemalangan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di KM223 Lebuh Raya PLUS berhampiran plaza tol Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka.
21 Ogos 2013 - 37 termasuk pemandu bas maut, 16 cedera apabila bas membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur
24 Disember 2016 - 14 maut, 16 cedera apabila sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di KM137 Lebuh Raya PLUS, berdekatan Kampong Jayo, Muar, Johor.
9 Jun 2025 - Sekurang-kurangnya 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

