Nahas 15 pelajar maut: UPSI buka bilik gerakan

SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuka sebuah bilik gerakan khas susulan nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 pelajar universiti itu dalam kejadian tragis di Gerik, Perak pada awal pagi Isnin.
Bilik gerakan tersebut dibuka bagi menyelaras segala tindakan dan maklumat berkaitan insiden membabitkan sebuah bas persiaran yang dinaiki pelajar UPSI.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI memaklumkan pihaknya telah menerima laporan awal berhubung kemalangan itu dan kini sedang mengambil tindakan susulan bagi menangani situasi berkenaan.
"Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan," kata kenyataan itu.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di talian 05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Hotline).
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI turut menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
"Universiti ini sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan sebaik mungkin kepada waris," ujar kenyataan tersebut.
Tragedi yang berlaku itu menggemparkan warga institusi pengajian tinggi dan mencetuskan suasana pilu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

