TVET Malaysia jadi rujukan ASEAN

KISAH kejayaan seorang graduan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kampung Pandan yang kini berkhidmat sebagai mekanik badan kapal terbang Qatar Airways di Doha telah membuka mata ramai pihak terhadap potensi besar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perkongsian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengenai graduan tersebut, Ibrahim dari Merlimau, Melaka, menarik perhatian ramai apabila dimaklumkan beliau memperoleh pendapatan mencecah RM20,000 sebulan.
Kisah ini bukan sahaja menjadi inspirasi, malah mengubah persepsi umum bahawa TVET hanyalah untuk pelajar kelas belakang.
Ia membuktikan bahawa bidang ini turut mampu menarik minat pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan ‘straight A’ dan ingin menceburi bidang kemahiran.
TVET kini dilihat sebagai laluan kerjaya yang mempunyai masa depan cerah dan berdaya saing tinggi di peringkat global.
Kerajaan Malaysia turut menyokong perkembangan ini dengan langkah proaktif melalui kerjasama strategik bersama institusi pendidikan dan rakan industri antarabangsa, termasuk dari United Kingdom (UK).
Matlamatnya adalah membangunkan hab pensijilan dan kecemerlangan TVET yang diiktiraf di peringkat serantau, selari dengan agenda negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan, menegaskan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja pengeluar tenaga mahir, malah sebagai pusat rujukan latihan dan pensijilan TVET yang berwibawa di rantau ASEAN.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, malah meningkatkan daya saing negara dalam ekonomi global.
Platform global ini akan membantu melahirkan lebih ramai bakat muda yang berkemahiran tinggi dan berpotensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Ini merupakan perkembangan positif yang memberi harapan besar kepada masa depan pendidikan negara dan pembinaan generasi pelapis yang lebih berkualiti.
Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak kurang cemerlang dalam akademik kini boleh tersenyum girang apabila kemahiran turut menjadi pilihan utama dalam masa depan pekerjaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!