Lebih 2,700 kanak-kanak bawah 5 tahun di Gaza alami malnutrisi akut

Seorang kanak-kanak Palestin menunggu giliran menerima makanan di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah. Foto AFP
Seorang kanak-kanak Palestin menunggu giliran menerima makanan di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah. Foto AFP
A
A
A

GAZA – Lebih 2,700 kanak-kanak bawah usia lima tahun di Gaza dikenal pasti mengalami malnutrisi akut, menurut laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak kes sejak proses saringan dilakukan pada Februari lalu, lapor Al Jazeera.

Daripada hampir 47,000 kanak-kanak yang disaring sepanjang separuh akhir Mei, sebanyak 5.8 peratus atau 2,733 daripadanya disahkan mengalami malnutrisi akut, iaitu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tiga bulan sebelumnya.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan di hospital akibat malnutrisi akut juga meningkat hampir dua kali ganda berbanding bulan-bulan terdahulu.

Data daripada Kumpulan Pemakanan yang dikutip OCHA menunjukkan lebih 16,500 kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza telah dikenal pasti dan dirawat akibat malnutrisi akut sejak Januari, termasuk 141 yang mengalami komplikasi serius dan memerlukan rawatan rapi di hospital.

Namun, laporan itu turut mendedahkan hanya empat pusat penstabilan tersedia di seluruh Gaza bagi merawat kes malnutrisi akut yang melibatkan komplikasi perubatan.

“Pusat penstabilan di Gaza Utara dan Rafah terpaksa menghentikan operasi. Ini menyebabkan kanak-kanak di kawasan terbabit tidak lagi mempunyai akses kepada rawatan menyelamatkan nyawa,” kata OCHA.

Amaran terbaharu ini hadir ketika keseluruhan populasi di Gaza sedang berdepan kebuluran, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa sistem kesihatan di wilayah itu kini “berada di ambang kehancuran”.

Dalam kenyataan terbarunya, WHO merayu agar dua hospital utama yang masih beroperasi, iaitu Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Al-Amal, diberikan perlindungan segera bagi mengelak daripada terus menjadi sasaran serangan.

“Pemusnahan sistematik ke atas hospital-hospital di Gaza sudah berlarutan terlalu lama. Ia mesti dihentikan serta-merta,” tegas WHO.

Artikel Berkaitan:

WHO turut menegaskan bahawa pesakit yang mencari perlindungan dan rawatan tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa hanya untuk sampai ke hospital.

Beberapa pakar PBB, pegawai perubatan di Gaza dan badan kemanusiaan sebelum ini mendakwa bahawa tentera Israel sengaja mensasarkan petugas kesihatan serta fasiliti perubatan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Gaza tempat yang tidak lagi sesuai untuk didiami. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!