Tak mampu lakukan ibadah korban, bolehkah berhutang?

KETAHUI pandangan Islam tentang mereka yang tidak berkemampuan, tetapi mahu melakukan ibadah korban secara berhutang.
KETAHUI pandangan Islam tentang mereka yang tidak berkemampuan, tetapi mahu melakukan ibadah korban secara berhutang.
A
A
A

MOMENTUM ibadah korban kian dirasai lantaran banyaknya iklan yang mula memenuhi laman media sosial dan arus perdana, mengajak umat Islam untuk melaksanakannya pada tahun ini.

Kebanyakan orang yang mahu menyertai ibadah itu lazimnya sudah membuat persiapan awal. Mereka sama ada menabung sendiri atau membuat bayaran secara ansuran setahun lebih awal bagi mengambil bahagian korban pada tahun berikutnya.

Namun begitu, ada juga yang terkandas di tengah jalan. Hanya mampu menyimpan impian, tetapi tidak berupaya merealisasikannya. Hasrat untuk melaksanakannya begitu membuak-buak dalam hati.

Ada juga yang mungkin sudah buat pembayaran awal untuk melakukan ibadah korban. Namun, apabila tiba masanya, wang yang dikumpul tidak mencukupi.

Hendak dilepaskan begitu sahaja, terasa sayang pula. Mahu atau tidak, adakalanya terpaksa meminjam untuk mencukupkan baki tersebut agar dapat menyertai ibadah korban.

Bolehkah kita melaksanakan ibadah korban secara berhutang disebabkan ketidakmampuan yang dihadapi?

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook, pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, terdapat tiga gambaran orang yang berhutang bagi melaksanakan ibadah korban.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

Pertama, berhutang dengan orang lain, kemudian diganti dengan bayaran secara ansuran atau sekali gus.

“Selain itu, berhutang dengan menggunakan kaedah pembayaran ‘beli sekarang, bayar kemudian’ yang mana bayaran semula dibuat secara ansuran kepada pihak terlibat.

“Satu lagi pula ialah menggunakan kad kredit,” katanya.

Secara asasnya, ujar penceramah tersohor itu, setiap tuntutan ibadah yang ditetapkan oleh syarak bukanlah untuk menyukarkan umat manusia.

Apatah lagi, katanya, hukum melaksanakan ibadah korban sunat muakkad iaitu amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan dititikberatkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam yang merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan.

Ia sebagaimana sabda Baginda SAW: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari an-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Maksud kemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai lebihan harta perbelanjaan untuk diri sendiri dan juga mereka yang di bawah tanggungannya daripada setiap sudut seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

“Jika tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup bagi hari-hari tersebut, maka seseorang tidak dikira sebagai orang yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.

RAMAI yang menyimpan hasrat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, tetapi kurang berkemampuan.
RAMAI yang menyimpan hasrat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, tetapi kurang berkemampuan.

Berdasarkan fakta itu, jelas Ustazah Asma’, fuqaha berpandangan, hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang dituntut melaksanakan ibadah korban.

Oleh sebab itu, jelas beliau, seseorang yang tiada kemampuan, tidaklah perlu berhutang semata-mata untuk melaksanakan ibadah korban sekiranya dia tidak mampu.

“Ini kerana dia tidak termasuk dalam golongan yang dituntut (melaksanakan ibadah korban),” jelasnya.

Bagaimanapun, seandainya seseorang tetap mahu juga menyempurnakannya secara berhutang, penceramah itu menjelaskan, hukumnya sah di sisi syarak kerana berkemampuan bukanlah syarat sah untuk melakukan ibadah korban.

“Akan tetapi, hutang adalah suatu perkara yang akan membebankan diri seseorang. Bahkan, Nabi Muhammad SAW memberi ancaman kepada mereka yang berhutang, tetapi tidak melunaskannya.

LAZIMNYA, mereka yang ingin melakukan ibadah korban sudah membuat persiapan awal dengan menabung atau membuat bayaran secara ansuran.
LAZIMNYA, mereka yang ingin melakukan ibadah korban sudah membuat persiapan awal dengan menabung atau membuat bayaran secara ansuran.

“Justeru, seseorang tidak digalakkan untuk berhutang bagi melaksanakan ibadah korban kerana Islam tidak pernah membebankan seseorang untuk melakukan sesuatu di luar kemampuannya.

“Pun begitu, jika seseorang itu yakin, mampu dan tidak terbeban untuk membayar hutang yang dipinjamnya, maka dibolehkan (berbuat demikian),” tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!