Aidiladha di Kelantan meriah macam kenduri besar

KOTA BHARU – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kelantan bukan sekadar satu ritual keagamaan sebagaimana disyariatkan oleh Islam, malah ia turut menjadi medan penyatuan ummah pelbagai peringkat lapisan masyarakat bermula dari kanak-kanak hingga warga emas.
Kemeriahan itu jelas terpancar bermula 10 hingga 13 Zulhijjah setiap tahun sekali gus menggambarkan tuntutan agama itu kekal subur dijaga dengan penuh hormat.
Di samping itu ia juga menyaksikan betapa bermaknanya sambutan Aidiladha di sini berbanding negeri lain sehingga ada yang menyifatkan ia sebagai 'kerja besar' dan kemeriahan seperti majlis kenduri.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh aktivis budaya, Mohd Sulhie Mohd Yusof yang menyifatkan ibadah korban di Kelantan bukan 'ritual' agama semata-mata, sebaliknya menjadi satu acara besar yang diraikan bersama-sama ahli keluarga dan penduduk setempat.
Menurutnya, sudah menjadi kelaziman di negeri ini yang mana sebuah keluarga sanggup menumbangkan seekor lembu untuk korban sempena Aidiladha.
“Apa yang menarik, aktiviti korban di sini dilakukan secara bergotong-royong, daripada menyembelih, melapah hinggalah memasak dan menjamu selera bersama.
“Suasana ini menghidupkan lagi semangat kekeluargaan dan kejiranan, sekali gus menjadikan Aidiladha sangat meriah seolah-olah seperti kenduri besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, sepanjang empat hari sambutan Aidiladha, suasana di sekitar Kelantan begitu 'hidup' dengan pelbagai undangan kenduri bermula awal pagi hingga malam.
Mohd Sulhie berkata, menambahkan lagi keunikan ibadah ini apabila mereka yang mengambil bahagian akan turun ke di lokasi penyembelihan.
“Di sesetengah negeri lain, kebanyakan peserta hanya menyerahkan bayaran dan semua urusan diuruskan oleh pihak masjid atau jawatankuasa yang dilantik.
“Tetapi di Kelantan, orang yang berkorban akan datang sendiri, bantu melapah dan ambil bahagian dalam keseluruhan proses, bahkan ia turut disertai oleh ahli keluarga mereka,” ujarnya.
Mohd Sulhie memberitahu, lebih mengujakan ada juga individu dari luar Kelantan yang sanggup datang ke negeri serambi Makkah itu semata-mata untuk melakukan ibadah korban kerana ingin merasai sendiri suasana serta kemeriahan sambutannya.
“Mereka mahu alami sendiri bagaimana meriahnya suasana Aidiladha di sini. Selain semangat gotong-royong, nilai kekeluargaan yang kuat menjadikan pengalaman tersebut cukup istimewa bagi mereka,” katanya.
Ujar beliau lagi, elemen keterlibatan komuniti serta suasana kenduri sepanjang hari inilah yang menjadikan sambutan Aidiladha di Kelantan unik dan tidak dapat dirasai di tempat lain.
Sementara itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Univeristi Malaysia Kelantan Bachok, Prof Dr Nawi @ Mohd Nawi Ismail menggariskan tiga perkara yang menjadikan ibadah korban di Kelantan meriah berbanding tempat lain.
Katanya, tiga perkara berkenaan adalah populasi penduduk Islam melebihi 95 peratus, pegangan kepada Islam yang terlalu kuat dan tradisi zaman-berzaman.
"Populasi umat Islam yang lebih dominan di negeri ini dan pegangan kuat kepada agama menjadi tunjang kekuatan sekali gus membawa kepada kemeriahan sambutan Aidiladha.
"Orang Kelantan menyifatkan Aidiladha sebagai hari raya yang besar dan perlu diraikan dengan sebaik mungkin. Setiap kali sambutan Aidiladha orang Kelantan bukan sahaja berkumpul malah melaksanakan ibadah korban secara beramai-ramai dan bergotong-royong.
"Bermula dari sembelihan, melapah, mengagihkan daging korban sehingga selepas termasuklah mengadakan kenduri secara kecil-kecilan di lokasi terlibat dengan ibadah berkenaan," katanya.
Menurut beliau, tradisi zaman-berzaman itu kekal subur hingga hari ini malah menjadi ikutan dalam kalangan generasi muda.
"Saya harap amalan baik ini akan terus kekal hingga akhir masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

