Penduduk Kampung Raja Uda bantah pembinaan memorial bersebelahan masjid

PELABUHAN KLANG - Penduduk Kampung Raja Uda membantah sepenuhnya cadangan pembinaan bangunan memorial empat tingkat di atas tanah kira-kira sekitar satu ekar di Persiaran Raja Muda Musa, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Azhar Ibrahim berkata, bantahan terhadap projek yang terletak bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda itu dibuat berikutan hampir 90 peratus penduduk di kampung tersebut merupakan masyarakat Melayu.
“Sebagai anak jati kampung, kami mengharapkan agar Datuk Bandar Klang dan pihak yang berkaitan membatalkan serta tidak meluluskan projek tersebut.
“Kami juga tidak dimaklumkan langsung mengenai kewujudan projek ini dan sebagai penduduk kami rasa terpinggir. Kami hanya dapat tahu melalui notis, itu pun penduduk yang beritahu dalam kumpulan sembang kampung dan kami sepakat mengadakan bantahan secara aman.
“Kami tidak mahu projek ini dilaksanakan kerana ia tidak menguntungkan masyarakat Melayu di kampung ini yang telah wujud lebih 75 tahun,” katanya ketika ditemui dalam perhimpunan aman di sini, pada Jumaat.

Tambah Azhar, lebih 300 bantahan secara dalam talian telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sejak beberapa hari yang lalu.
Menurutnya, penduduk juga akan menghantar memorandum untuk meminta campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya bantahan secara dalam talian itu tidak berjaya.
Dalam pada itu, Imam 1 Masjid Kampung Raja Uda, Mohd Bazaireen Baharuddin berkata, pembinaan projek berkenaan menimbulkan ketidakselesaan kepada lebih 5,000 penduduk beragama Islam di kawasan tersebut.
“Ini adalah kawasan penduduk Islam yang ramai, jadi apabila dibina memorial, ia bukan sahaja mewujudkan abu tetapi juga acara keagamaan mereka secara besar-besaran di sini.
“Kami membantah sekeras-kerasnya kerana tidak selesa dengan keadaan seumpama ini. kerana ia bersebelahan dengan masjid.
“Jika bantahan kami tidak dilayan, kami harap ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil pandangan kami sebagai penduduk kampung agar projek ini tidak diteruskan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
