Lelaki didakwa cabul adik perempuan rakan usia 9 tahun

Seorang lelaki didakwa atas lima tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuan kepada rakannya yang baharu berusia sembilan tahun.
Seorang lelaki didakwa atas lima tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuan kepada rakannya yang baharu berusia sembilan tahun.
A
A
A

MELAKA – Seorang pembantu kedai lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas lima tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik perempuan kepada rakannya yang baharu berusia sembilan tahun.

Tertuduh, Ahmad Dzul Fiqar Ahmad Fardzil, 21 tahun, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan empat pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan bagi maksud seksual di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Dia yang masih bujang turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan mangsa, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh, di sini, antara jam 10 malam hingga 1 pagi, pada 31 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, selain memohon syarat tambahan agar tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan, malah keluarganya tidak berkemampuan untuk membayar wang jaminan yang tinggi.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 bagi semua pertuduhan serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Media pada Isnin lalu melaporkan tertuduh yang juga rakan kepada abang mangsa melakukan perkara terkutuk itu ketika dia datang ke rumah adik-beradik tersebut.

Perbuatan jahatnya itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perlakuan tertuduh terhadapnya kepada ibu, sebelum wanita itu bertanyakan perkara berkenaan kepada lelaki terbabit.

Lelaki itu akhirnya mengaku melakukan perbuatan tersebut sebelum wanita berusia 40-an itu tampil membuat laporan polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!