Kertas siasatan kes selebriti amang seksual remaja perempuan dirujuk ke TPR

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan kes remaja perempuan berusia 17 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual pelakon dan penyanyi lelaki akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR), pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan.
“Siasatan sedang dijalankan dan saya akan maklumkan kemudian sama ada suspek akan didakwa esok atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pelakon dan penyanyi terkenal itu disiasat selepas disyaki melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.
Menurutnya, selepas beberapa kali pertemuan suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel.
"Ketika dalam pertemuan itu suspek melakukan perbuatan amang seksual fizikal kepada mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
