Selangor sasar lebih 75 peratus pegangan industri aeroangkasa menjelang 2030

Amirudin berucap ketika merasmikan Selangor Aero Park (SAP). Foto Facebook Amirudin
Amirudin berucap ketika merasmikan Selangor Aero Park (SAP). Foto Facebook Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor menyasarkan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi aeroangkasa di negeri ini daripada 68 peratus kepada lebih 75 peratus menjelang 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor Aero Park (SAP) akan menarik pemain global dalam rantaian bekalan penerbangan.

Menurutnya, rantaian itu daripada pengeluar pesawat seperti Airbus dan Boeing sehingga kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bercita-cita untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem aeroangkasa global.

“Matlamat kita adalah untuk membangunkan Kluster Aeroangkasa Nasional yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa 2030.

“Lebih daripada sekadar hab aeroangkasa seluas 600 ekar, SAP adalah landasan pelancaran bagi cita-cita kita untuk menjadi pusat penerbangan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) terkemuka di Asia Tenggara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah Amirudin, SAP juga akan mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2035 di samping menjalin kerjasama kukuh antara industri dan institusi seperti yang telah dibentuk bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan GE Aviation.

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya menantikan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan projek Rel Kita Selangor.

“Ia akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang (SZB), Pelabuhan Klang dan pelabuhan baharu yang bakal dibangunkan di Pulau Carey.

“Semoga usaha ini membawa kemakmuran yang lebih besar kepada Selangor dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!