Ketua Menteri Melaka fokus selesai krisis air

Sulaiman ketika sidang media selepas taklimat air membabitkan beberapa agensi termasuk SAMB dan BKSA di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Sulaiman ketika sidang media selepas taklimat air membabitkan beberapa agensi termasuk SAMB dan BKSA di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pentadbiran baharu kerajaan negeri Melaka memberi fokus untuk menyelesaikan krisis bekalan air di negeri ini bagi memastikan ia mencukupi menjelang Ramadan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pelan jangka pendek dan panjang akan dirancang termasuk melibatkan agensi- agensi berkaitan bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini.

Menurutnya, antara langkah jangka pendek yang akan diberi perhatian untuk dilaksanakan ialah mengurangkan masa atau hari catuan yang dijadualkan menjelang Ramadan ini iaitu penghujung April depan.

"Kita kena lihat kalau tidak ada catuan air, maka kolam tadahan memerlukan untuk air tu dipam masuk.

"Pelan itu juga mengambil kira perbincangan di antara negeri-negeri jiran yang menyumbang kepada kemasukan air ke negeri ini," katanya.

Sulaiman berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat air membabitkan beberapa agensi termasuk Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan akan merujuk kepada kementerian berkaitan bagi mendapat maklum balas berhubung pelan tindakan jangka panjang untuk menamatkan kesukaran rakyat sejak catuan air bermula.

Menurutnya, sudah pasti kerajaan hari ini mengambil tindakan yang penuh berhati-hati agar rakyat Melaka terus menikmati bekalan air mentah dan terawat tanpa sebarang masalah.

Artikel Berkaitan:

"Saya kena ambil tindakan yang munasabah, jadi bagi masa sedikit untuk saya pastikan tindakan-tindakan ini dapat dilaksanakan dalam waktu yang munasabah," katanya.

Pada 5 Mac lalu, Syarikat Air Melaka Berhad dilaporkan berkata, catuan bekalan air untuk Fasa Ketiga diperluas ke kawasan Zon 2 meliputi tambahan 20 peratus pengguna di daerah Alor Gajah berikutan keadaan cuaca kering berterusan dan ketiadaan hujan yang berpanjangan di kawasan tadahan dan sungai.