Tanah rizab Melayu perlu dipertahan, bukan dipolitikkan - Mohd Lassim

JOHOR BAHRU - Cadangan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor supaya kerajaan negeri menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal seperti di Negeri Sembilan disifatkan sebagai pandangan dangkal dan tidak berpijak pada realiti sejarah serta sensitiviti rakyat negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan menegaskan bahawa langkah itu berbahaya kerana boleh membuka ruang kepada penghakisan hak milik tanah orang Melayu secara halus atas nama kebebasan pasaran.
“Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri tidak pernah menafikan hak rakyat, sebaliknya sentiasa mempermudah proses pembaharuan pajakan dengan cara yang telus dan berperikemanusiaan.
“Sebagai contoh, tujuh permohonan pajakan di Kampung Melayu Majidee telah diluluskan dan diserahkan kepada pemilik baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Lassim turut mempersoalkan sikap membisu Amanah ketika isu pemberian hak milik kekal 999 tahun kepada kampung baru bukan Melayu di Perak pada tahun 2018, yang mencetuskan kontroversi dan perdebatan panjang ketika itu.
“Di mana suara Amanah waktu itu untuk mempertahankan hak tanah orang Melayu? Hari ini, mereka tampil memberi cadangan yang akhirnya menguntungkan pihak lain tetapi merugikan masa depan bangsa Melayu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Johor sedang memberi fokus kepada pelaksanaan Rancangan Khas Kawasan (RKK), termasuk di Kampung Melayu Majidee, bagi memastikan kampung tradisi Melayu kekal relevan dan makmur dalam arus pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Tanah Rizab Melayu bukan sekadar isu pemilikan, tetapi soal warisan dan masa depan anak bangsa. Johor akan terus maju tetapi tidak akan sesekali menggadaikan jati diri dan hak milik rakyatnya,” katanya.
Tegas beliau, Johor adalah negeri berdaulat yang mempunyai undang-undang tersendiri dan tidak akan tunduk kepada tekanan politik populis.
“Cukup-cukuplah bermain politik dengan isu tanah rizab Melayu. Kami di Johor memilih untuk mempertahankan hak, bukan memperdagangkannya,” tegas beliau.
Pada Rabu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan permintaan penduduk Kampung Melayu Majidee yang mahu menukar status tanah rizab Melayu daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal, sebagaimana dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sejak 2019.
Dzulkefly, yang merupakan bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, pendekatan progresif yang diambil Negeri Sembilan telah terbukti memberi manfaat bersama kepada pemilik tanah dan pihak kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

