Penipuan pelaburan mesin kopi layan diri: 101 laporan diterima babit kerugian RM6.7 juta

SHAH ALAM – Polis Selangor menerima sebanyak 101 laporan polis membabitkan penipuan pelaburan mesin kopi layan diri yang ditawarkan oleh dua syarikat, dengan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM6.7 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua laporan itu diterima sejak Januari hingga April lalu.
"Kita telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala 91 laporan yang lain telah dirujuk ke laporan polis yang telah dibuka kertas siasatan serta disiasat di bawah Seksyen yang sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hussein berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa telah diberikan penerangan dan representasi berkenaan pelaburan mesin layan diri yang ditawarkan oleh suspek.
"Pelaburan ini adalah berdasarkan pembelian mesin layan diri yang menjanjikan pulangan yang tinggi. Selepas mendengar penerangan dan representasi mengenai program pelaburan yang ditawarkan, mangsa tertarik dan menyertai program itu sebelum membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
"Mangsa tidak tahu sama ada pelaburan ini wujud atau tidak. Pada peringkat awal, mangsa ada menerima keuntungan tetapi selepas beberapa lama, mangsa tidak memperolehi apa-apa pulangan," katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan yang telah lengkap dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
"Keputusan dibuat bahawa tiada pertuduhan di bawah jenayah penipuan. Seterusnya, pihak pengadu dinasihatkan untuk mengambil tindakan saman sivil bagi mencabar pelanggaran kontrak perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat pelaburan tersebut dan mendapatkan kembali wang pelaburan.
"Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan, pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
