Penduduk kampung panik, 52 ular keluar dari rumah petani

Ular yang dipercayai dibunuh oleh penduduk kampung pada Ahad lalu. - Foto: NDTV
Ular yang dipercayai dibunuh oleh penduduk kampung pada Ahad lalu. - Foto: NDTV
A
A
A

SAMOULI, INDIA – Sebuah kampung di Uttar Pradesh, India, gempar apabila lebih 50 ekor ular ditemui keluar dari sebuah rumah petani pada malam Ahad.

Menurut NDTV, kejadian berlaku di Kampung Samouli ketika salah seorang petani, Mahfooz Saifi sedang bersiap untuk tidur di rumahnya.

Mahfooz mendakwa ternampak seekor ular sepanjang kira-kira 1.5 kaki di kawasan halaman rumah.

“Selepas saya membunuh ular tersebut, rupa-rupanya lebih banyak ular dilihat keluar dari bawah tanjakan berhampiran pintu hadapan rumah,” katanya.

Susulan kejadian itu, ia tular dengan cepat sehingga menarik perhatian penduduk kampung lain yang bergegas ke lokasi kejadian.

Walaupun ketakutan, mereka mengambil keputusan untuk bertindak membunuh kesemua ular berkenaan secara bersama-sama.

Sebanyak 52 ekor ular telah dibunuh dan kemudiannya ditanam di dalam sebuah lubang.

Dalam pada itu, video kejadian berkenaan turut dimuat naik ke media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.

Sejurus itu, Jabatan Perhutanan telah menghantar satu pasukan untuk menjalankan siasatan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Hutan Bahagian, Rajesh Kumar berkata, ular tersebut dipercayai merupakan spesies ular air tidak berbisa.

Katanya, ia biasanya ditemui di kawasan saliran dan bukan jenis yang berbahaya.

Jelas Rajesh, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal berhubung tindakan membunuh ular terbabit.

“Difahamkan ular-ular itu telah dibunuh dan ditanam tanpa memaklumkan kepada jabatan,” ujarnya.

Beliau kemudian mengingatkan bahawa sebarang tindakan terhadap haiwan dilindungi perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Sementara itu, pakar ular, Aditya Tiwari turut mengenal pasti haiwan tersebut sebagai ular air belang atau nama saintifiknya, checkered keelback.

Aditya yang juga presiden sebuah pertubuhan alam sekitar berkata, ular berkenaan merupakan spesies dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!