WUIF ajak umat Islam sertai Arafah #QuranHour 1446H

Marhaini
Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak seluruh umat Islam menyertai Arafah #QuranHour bertemakan Ummah Berbudi dan Penyayang sempena Hari Arafah, 9 Zulhijah 1446H bersamaan 6 Jun ini.

Arafah #QuranHour, yang diadakan pada hari Wukuf, memberi ruang refleksi diri yang mendalam kepada para jemaah dalam suasana puncak ibadah haji.

Ia memperkukuh nilai spiritual yang terbina melalui manasik, disulami dengan tadabbur al-Quran secara thematic, menjadikan haji bukan sekadar pengalaman fizikal, tetapi pengukuhan jiwa yang sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Arafah #QuranHour memberi ruang refleksi diri mendalam kepada para jemaah dalam suasana puncak ibadah haji.

“Sasaran WUIF menuju 1,500H, iaitu 51 tahun dari sekarang, adalah untuk MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah.

“Kami berharap kerangka fikir Duyufurrahman dibina dengan al-Quran yang dibaca, difahami dan diamalkan, terutamanya selepas mereka melalui perjalanan haji yang luar biasa di Tanah Suci.

“Para tetamu ALLAH diharap pulang nanti bukan sahaja mendapat haji mabrur, malah mampu melakukan transformasi di peringkat keluarga, organisasi, komuniti dan negara.

“Hebatnya al-Quran, ia sentiasa mengandungi mutiara luar biasa untuk dijadikan panduan kehidupan, di rumah, tempat kerja mahupun di mana-mana,” katanya.

Tambah beliau, setiap tahun, Surah al-Hajj dijadikan surah utama Arafah #QuranHour yang memfokuskan elemen takwa, sabar dan disiplin.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini, Surah al-Saff pula menjadi pilihan tadabbur thematic yang membawa mesej kesatuan untuk #SavingTheUmmah.

Surah al-Saff membawa tema ‘Lima Formula Membina Karakter Duyufurrahman’ yang menekankan jihad melalui kesatuan dan perjuangan spiritual, seterusnya menjadikan setiap tindakan harian sebagai sebahagian jihad untuk memperbaiki diri.

Berpandukan tadabbur Surah al-Hajj dan Surah al-Saff, terdapat lima karakter Duyufurrahman yang dibina, iaitu kesedaran bertuhan, proaktif, disiplin, jujur dan sabar.

Marhaini berkata, tidak cukup sekadar rindu pada Tanah Suci. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar.

“Pengorbanan mereka menjadi warisan dan inspirasi sepanjang zaman.

“Setiap manasik yang dilalui penuh dengan pelajaran rohani dan amali. Justeru, misi Arafah #QuranHour ialah menghidupkan semula semangat itu melalui tadabbur, penghayatan dan pelaksanaan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan pasca haji,” katanya.

Sejak 2016, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menjadi pendukung utama dalam merealisasikan Arafah #QuranHour di Tanah Suci, walaupun berdepan pelbagai komitmen besar dalam menguruskan operasi haji setiap tahun.

Komitmen berterusan ini mencerminkan kesungguhan TH dalam memperkukuh nilai rohani jemaah melalui penghayatan al-Quran.

Inisiatif tersebut turut dibantu oleh wakil Sinar Harian yang bertugas di Tanah Suci setiap tahun.

Tahun ini, sokongan turut diperluas oleh beberapa agensi pelancongan haji dan umrah terkemuka seperti Azzuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, KAWAN International Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dan Juara Travel & Tours Sdn Bhd yang turut menjayakan misi memperluas gelombang tadabbur al-Quran di Arafah.

Program tersebut dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama TH serta pelbagai rakan strategik.

Orang ramai boleh mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di Astro Oasis (12 tengah hari), TV9 (4 petang), Facebook QuranHour (6 petang) dan TV AlHijrah (9.30 malam).

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook QuranHour.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!