Suami isteri usahakan dodol tradisional guna resipi turun-temurun

Muhamad Syazwan dan Noraizan bangga kerana mereka memilih menjadi usahawan dodol.
Muhamad Syazwan dan Noraizan bangga kerana mereka memilih menjadi usahawan dodol.
A
A
A

KUALA PILAH - Ketika ramai anak muda mengejar peluang pekerjaan di bandar, sepasang suami isteri di sini memilih untuk menjadi usahawan dodol sepenuh masa di kampung sejak empat tahun lalu.

Muhamad Syazwan Din Sabudin, 35, dan isterinya, Noraizan Mohd Haris, 36, nekad menceburi perniagaan makanan tradisional Melayu itu kerana mahu mengangkat kembali manisan warisan yang semakin dilupakan, terutama oleh generasi muda hari ini.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia mempelajari kemahiran membuat dodol daripada bapa mentuanya yang pernah berniaga dodol secara kecil-kecilan sekitar 10 tahun lalu.

“Saya selalu tengok ayah mentua buat dodol dan dari situ timbul minat untuk mengkomersialkannya, lebih-lebih lagi kerana jarang anak muda mahu membuat dodol sekarang.

“Masa mula-mula buat memang susah, pernah juga tiga kawah dodol terpaksa dibuang kerana hangus,” katanya ketika ditemui di Kampung Ibol, Terachi pada Selasa.

Muhamad Syazwan dan Noraizan memasak dodol tanpa menggunakan pekerja.
Muhamad Syazwan dan Noraizan memasak dodol tanpa menggunakan pekerja.

Muhamad Syazwan berkata, proses membuat dodol memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana adunannya perlu dikacau tanpa henti selama sekurang-kurangnya enam jam.

Tambahnya, kawalan api juga penting bagi memastikan dodol tidak hangus di bahagian bawah.

Ditanya mengenai resipi dodolnya, Muhamad Syazwan menjelaskan ia merupakan resipi turun-temurun daripada arwah datuknya yang juga pernah berniaga dodol.

Artikel Berkaitan:

“Dodol kami 100 peratus menggunakan gula anau dan santan segar, tanpa gula pasir dan tanpa bahan pengawet.

“Itulah yang menjadikan rasa dodol kami lebih asli dan bau lebih wangi,” ujarnya.

Dodol cair antara paling menjadi perhatian pelanggan
Dodol cair antara paling menjadi perhatian pelanggan

Dia tidak menyangka dodol yang dijual mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada pelanggan muda.

Katanya, kebanyakan pelanggan kini lebih berminat membeli dodol cair, memandangkan ia sukar didapati di pasaran.

“Saya juga jual dodol dalam talian dan promosikan melalui TikTok, tapi yang datang ke gerai, boleh dikatakan 70 peratus beli dodol cair.

“Kalau dahulu dodol ini hanya dimakan ketika Hari Raya atau di majlis kenduri kahwin, kini tidak lagi,” katanya yang hanya berniaga pada hari Sabtu dan Ahad, dari jam 2.30 petang hingga 7 malam.

Dia berharap agar makanan tradisional seperti dodol terus digemari dan dikenang supaya tidak ditelan zaman.

Selain dodol, pasangan ini turut menjual wajik dan kuih sopang, yang juga merupakan manisan dan kuih tradisional Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!