Tiga beradik perempuan bertemu jodoh dengan tiga beradik lelaki

KOTA KINABALU - Jarang berlaku, tetapi itulah yang terjadi apabila tiga beradik perempuan bertemu jodoh dengan tiga beradik lelaki, yang disifatkan sebagai satu kebetulan manis dan akhirnya membawa kepada penyatuan tiga pasangan tersebut dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung serentak pada 25 Mei lalu di Kinabatangan.
Majlis itu bukan sekadar meraikan cinta, malah turut menyatukan dua keluarga besar dari Kinabatangan dan Beluran dalam suasana yang unik, meriah dan penuh warna, menjadikannya satu kenangan luar biasa yang sukar dilupakan oleh mereka.
Dalam majlis berkenaan, Nurul Syafieka Suhadin, 21, bersama pasangannya Muhammad Shafik Sait, 22; Norsyafieha, 20, bersama Zamrie, 27; serta Nurul Syazieha, 18, bersama pasangannya, Saiful, 26, selamat diijabkabulkan dalam satu hari yang cukup bermakna.
Menurut Nurul Syafieka yang juga merupakan anak sulung, dia tidak menyangka adiknya turut menjalin hubungan cinta dengan abang kepada teman lelakinya (kini suami), dan perkara itu hanya diketahui selepas mereka bertemu.

"Pada awalnya, saya tidak tahu adik saya yang ketiga bercinta dengan abang kepada teman lelaki saya ketika itu. Jadi saya pun terkejutlah, sebab wajah teman lelaki saya dan abangnya langsung tak sama.
"Rupanya mereka sudah lama berkenalan sejak 2023 kerana bekerja di tempat yang sama di Inanam, sebelum saya dan suami berkenalan pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, pasangan ketiga iaitu adik keduanya, Norsyafieha, hanya mula menjalin hubungan cinta dengan Zamrie, abang kepada teman lelakinya, pada awal tahun ini.
"Mereka mula berkawan selepas kami berempat merancang untuk ke arah yang lebih serius. Kami pun tidak menyangka mereka juga membuat keputusan untuk ke arah itu.
"Kami cuma perkenalkan mereka, tidak pernah memaksa. Rupa-rupanya mereka sudah saling terpaut hati sebelum kami semua bersetuju untuk bernikah pada tarikh yang cantik iaitu 25.05.2025.
"Semasa majlis tersebut, saya mendahului akad nikah sebagai anak sulung, diikuti adik kedua dan ketiga. Majlis persandingan pula diadakan serentak di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan," katanya.
Jelasnya lagi, mereka sebenarnya mempunyai empat beradik, namun adik bongsu perempuan mereka baru berusia 11 tahun manakala abang di sebelah pihak lelaki sudah pun berkahwin dan mempunyai anak.
Nurul Syafieka dalam pada itu turut berharap agar jodoh mereka bertiga bersama pasangan masing-masing sentiasa dirahmati ALLAH dan kehidupan rumah tangga yang dibina dapat dilayari dengan harmoni serta penuh keberkatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

