Lelaki ‘hilangkan diri’ selepas bunuh kejam tiga anak perempuan

 Seorang lelaki yang juga bekas anggota tentera kini diburu polis selepas dipercayai membunuh tiga anak kandungnya dalam satu kejadian tragik di sebuah kawasan perkhemahan terpencil. Gambar hiasan
Seorang lelaki yang juga bekas anggota tentera kini diburu polis selepas dipercayai membunuh tiga anak kandungnya dalam satu kejadian tragik di sebuah kawasan perkhemahan terpencil. Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON – Seorang lelaki yang juga bekas anggota tentera Amerika Syarikat kini diburu polis selepas dipercayai membunuh tiga anak kandungnya dalam satu kejadian tragik di sebuah kawasan perkhemahan terpencil di Washington.

Suspek, Travis Decker, 32, dilaporkan mengambil tiga anak perempuannya, Paityn, 9, Evelyn, 8, dan Olivia, 5, dari rumah bekas isterinya, Whitney Decker, pada 30 Mei lalu untuk lawatan penjagaan bersama yang dijadualkan.

Namun, apabila Decker gagal memulangkan ketiga-tiga anak tersebut, ibu mereka segera membuat laporan polis pada malam Jumaat.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dua hari kemudian, sekitar jam 5 petang Isnin, di cerun berbatu di kawasan Tapak Perkhemahan Rock Island, kira-kira 30 kilometer dari bandar Leavenworth.

Travis Decker dirakam kamera loceng pintu beberapa hari sebelum mayat tiga anak perempuannya (gambar kanan) ditemui pada 2 Jun 2025.
Travis Decker dirakam kamera loceng pintu beberapa hari sebelum mayat tiga anak perempuannya (gambar kanan) ditemui pada 2 Jun 2025.

Menurut pihak berkuasa, kesemua kanak-kanak itu dipercayai mati akibat lemas, selepas ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan beg plastik menutupi kepala serta tangan diikat menggunakan pengikat kabel plastik.

Berhampiran lokasi kejadian, polis turut menemui trak GMC Sierra putih milik Decker yang ditinggalkan, dengan dua kesan cap tangan berdarah di bahagian belakang kenderaan tersebut.

Beberapa hari sebelum kejadian, kelibat Decker dirakam menerusi kamera loceng pintu di sebuah kediaman awam. Dalam rakaman tersebut, dia dilihat mengetuk pintu.

Rakaman itu kemudian dikongsi oleh Pejabat Sheriff Daerah Chelan bagi membantu mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa turut mengedarkan dua imej yang menunjukkan Decker bermisai tebal, berambut panjang yang diikat ekor kuda, serta mempunyai tatu di beberapa bahagian lengan.

Suspek tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan dipercayai tinggal di dalam trak.

Menurut siasatan, Decker mempunyai kemahiran bertahan hidup di kawasan hutan hasil latihan ketenteraan yang diterimanya ketika berkhidmat dalam Pengawal Nasional Washington sejak 2021.

Sheriff Mike Morrison memaklumkan bahawa pihaknya percaya suspek pernah menyimpan bekalan di lokasi tertentu dan mampu bertahan selama berminggu atau berbulan di dalam hutan.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak mendekati atau menghubungi suspek sekiranya ternampak, kerana Decker dianggap berbahaya dan berkemungkinan bersenjata. Dia mempunyai ketinggian kira-kira 1.73 meter, berat 86 kilogram, berambut hitam dan bermata coklat.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek agar segera menghubungi pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan usaha mengesannya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!