Bawa anjing ke pantai boleh dikompaun RM250 - Exco

PORT DICKSON - Individu yang didapati membawa anjing peliharaan ke kawasan awam termasuk pantai di daerah ini boleh dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM250.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, papan tanda larangan membawa haiwan peliharaan telah diletakkan di kawasan tertentu sebagai peringatan kepada orang ramai.
Menurutnya, tindakan kompaun boleh dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Taman (Majlis Perbandaran Port Dickson - MPPD) 2008.
“Saya dimaklumkan mengenai gambar tular seorang pengunjung yang membawa anjing peliharaannya berjalan di pantai Port Dickson baru-baru ini, yang telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet di media sosial.
“Memang benar pantai ini merupakan kawasan awam, tetapi apabila terdapat papan tanda larangan membawa haiwan peliharaan, maka peraturan itu perlu dipatuhi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gambar tular yang menunjukkan seorang pengunjung membawa anjingnya berjalan di sebuah pantai di Port Dickson.
Jelasnya, walaupun larangan tersebut tidak wujud sekalipun, setiap individu perlu lebih sensitif terhadap kehadiran pengunjung pelbagai kaum di kawasan awam.
“Larangan ini bukan sahaja terpakai di kawasan pantai, tetapi juga di tempat awam lain demi menjaga sensitiviti masyarakat,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu tular berkenaan sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Pantai Tanjung Biru, Arul Kumar memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan MPPD mengambil tindakan segera.
Untuk rekod, terdapat 11 pantai di sekitar Port Dickson dengan Pantai Teluk Kemang antara lokasi paling popular dalam kalangan pelancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

