Kerajaan Kelantan nafi sidang DUN hanya ‘medan ya, betul YB’

Kerajaan Kelantan menangkis dakwaan pembangkang yang menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai ‘medan ya, betul YB’. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Kerajaan Kelantan menangkis dakwaan pembangkang yang menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai ‘medan ya, betul YB’. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menangkis dakwaan pembangkang yang menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai ‘medan ya, betul YB’.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, DUN Kelantan sentiasa memberi ruang yang luas kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang untuk bersuara dan membahaskan isu.

“Segala jawapan dan perbincangan direkodkan secara rasmi. Tidak boleh dakwa sedemikian (medan ya, betul YB) kerana semua yang disebut dalam sidang DUN direkodkan dalam hansard dan menjadi dokumen rasmi.

“Sebab itu, kita tidak boleh bercakap secara main-main. Pihak kerajaan jika menjawab soalan dalam sidang DUN mesti berdasarkan fakta.

“Bukan soal pihak bertanya berpuas hati atau tidak dengan jawapan diberikan, yang penting adalah jawapan itu disandarkan pada fakta,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, segala persoalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang telah dijawab secara rasmi oleh Jabatan Menangani Isu Negeri (JAMIN) Kelantan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, sidang DUN sepatutnya menjadi medan menyemak dasar dan menjaga integriti kerajaan negeri.

Namun, menurutnya, berdasarkan pengalaman pihak pembangkang, sidang tersebut kebanyakan masa menjadi ruang ‘ya, betul YB’ sahaja.

Beliau berkata, apabila pembangkang membangkitkan isu berdasarkan laporan audit atau status projek gagal, ada pihak yang memperlekeh dan menyindir mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, katanya, mereka tetap konsisten kerana bagi mereka, demokrasi bukan milik majoriti yang bisu, tetapi milik suara yang berani.

“Suara rakyat tidak boleh direndam hanya kerana ia tidak selesa untuk didengar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!