Pembinaan LPB: JKR, kontraktor digesa pantau aliran trafik - Shahelmey

PUTATAN - Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor digesa memastikan pengurusan jalan raya yang terlibat dalam fasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sentiasa dipantau, khususnya yang melibatkan aliran trafik di kawasan berisiko.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun terdapat insiden kemalangan di kawasan pembinaan LPB yang berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya, namun pihaknya tetap menekankan keperluan pemantauan secara berterusan di kawasan terlibat pembinaan LPB.
"Saya ada menerima laporan kes kemalangan dan hasil laporan bahawa sebenarnya berpunca daripada satu seksyen jalan raya di Pakej Satu (bagi laluan Sipitang-Beaufort) berlakunya paip pecah.
"Jadi kerja pengorekan untuk membaiki paip air telah dilaksanakan dan papan tanda serta penghadang jalan telah dipasang.
"Namun atas kecuaian pengguna jalan raya pada waktu malam, telah terlencong dan mengakibatkan motosikal terjatuh ke dalam lubang.
"Pihak JKR sudahpun menemui mangsa dan juga mendapatkan laporan polis dan ia dilihat berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.
"Namun dalam masa sama juga kita mengingatkan pihak JKR yang bertugas di lapangan dan pihak kontraktor untuk memastikan bahawa semasa dalam fasa pembinaan ini pelan pengurusan trafik mesti sentiasa dipantau," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Putatan di Pejabat Daerah Putatan, di sini pada Selasa.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung laluan dari Beaufort ke Sipitang yang kini dalam fasa pembinaan LPB dan dilihat berisiko menyumbang kepada insiden kemalangan.
Situasi itu susulan beberapa laluan dikenal pasti berada dalam keadaan rosak, berlubang, tidak berturap serta mengelirukan pengguna, berikutan lencongan yang dibuat tanpa papan tanda amaran mencukupi sehingga mengakibatkan beberapa insiden kemalangan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengakui berlaku kelemahan dari pihak konsesi dan penyelia tapak, namun dalam masa sama menekankan keperluan kerjasama semua pihak bagi memastikan laluan pembinaan selamat digunakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
