Lelaki serang wanita guna grip pistol kerana selisih faham di jalan raya

GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun selepas disyaki mencederakan seorang wanita menggunakan objek dipercayai grip pistol dalam kejadian berhampiran Jalan Kelawai, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.20 pagi, susulan perselisihan faham di atas jalan raya antara mangsa dan suspek ketika mereka memandu melalui lokasi kejadian.
"Mangsa, seorang wanita berusia 28 tahun, telah membuat laporan polis pada jam 5.56 petang hari yang sama, memaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan parah di bahagian hidung dan mata akibat dipukul dengan objek dipercayai grip pistol.
"Bagaimanapun, suspek yang terlibat telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 9.30 pagi tadi," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.
Abdul Rozak berkata, hasil siasatan polis turut merampas merampas sepucuk pistol, sebuah kelopak peluru serta sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah serta Seksyen 34 Akta Senjata 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
