PDAM gesa tangguh subsidi bersasar RON95, dakwa dua isu kritikal belum selesai

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 sehingga dua isu utama yang membebani pengusaha dapat diselesaikan sepenuhnya.
Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, isu tersebut merangkumi keperluan semakan semula margin di bawah Kaedah Harga Automatik (APM) dan kadar caj Diskaun Pedagang (MDR) yang dikenakan syarikat kad pembayaran.
Menurutnya, APM yang digunakan sejak tahun 2019 sudah tidak lagi mencerminkan kos operasi semasa, sekali gus menekan pengusaha kecil dan sederhana jika Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) terus dilaksanakan tanpa pembetulan struktur kos.
“Caj MDR berdasarkan nilai jualan, manakala komisen pengusaha pula berdasarkan jumlah liter.
"Apabila harga pam meningkat, caj MDR turut meningkat tetapi komisen tidak berubah, lalu margin keuntungan kami terhakis,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 menegaskan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85 peratus rakyat Malaysia.
Pada Jun 2024 pula subsidi bersasar bagi diesel telah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini memaklumkan langkah itu dijangka menjimatkan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun, hampir dua kali ganda daripada jangkaan awal.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan dilaksanakan dalam separuh kedua tahun ini dan kemungkinan menggunakan MyKad sebagai mekanisme pengesahan.
Dalam pada itu, Khairul mendedahkan bahawa pihaknya telah berulang kali memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan sejak dua tahun lalu, namun masih belum diberi peluang hingga kini.
“Kami percaya hanya melalui kepimpinan langsung Perdana Menteri, penyelesaian konkrit dapat dicapai demi memastikan kelangsungan industri pengusaha tempatan dan jaminan bekalan bahan api kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, petisyen industri yang dijalankan PDAM baru-baru ini telah memperoleh lebih 2,300 tandatangan, menunjukkan sokongan luas dalam kalangan pengusaha.
Jelasnya lagi, PDAM mewakili lebih 60 peratus stesen minyak di seluruh negara termasuk hampir 70 peratus stesen jenama utama dan buat pertama kalinya turut disertai pengusaha jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream.
“Sebagai satu-satunya persatuan yang mewakili industri ini selama lebih 40 tahun, kami kekal komited kepada prinsip kerjasama dan keterbukaan.
“PDAM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan kepentingan industri ini secara menyeluruh dan berasaskan fakta, tanpa mengelirukan orang ramai atau mempolitikkan isu sensitif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

