Kampung Wai permata tersembunyi di utara

PERNAHKAH kita menyangka bahawa di sebalik bukit batu kapur berusia setengah bilion tahun, terletak sebuah kampung yang 'diam-diam' memelihara keindahan semula jadi yang tidak ternilai?
Kampung Wai, Kuala Perlis, sebuah nama yang mungkin asing buat sesetengah, namun bagi yang sudah menjejakkan kaki ke sini, ia bukan sekadar tempat, tetapi satu pengalaman yang menusuk ke dasar hati.
Berjalan menyusuri terusan dengan air hijau jernih dikelilingi tebing batu kapur yang menjulang rasanya seperti berada di dunia yang lain.
Apabila bot atau kayak memasuki terowong sunyi sepanjang 765 meter, yang hanya diterangi cahaya kelip-kelip berwarna-warni dan alunan lagu lembut, jantung seakan berhenti seketika.
Di situlah kita menyedari, keindahan ini wujud di tanah air sendiri, di sebuah kampung yang mungkin sebelum ini kita tidak pandang dua kali tetapi kini mula meniti di bibir pengunjung dari seluruh negara sebagai satu destinasi eko-pelancongan yang memukau.
Dari sebuah kampung biasa yang tidak dikenali ramai, ia kini menjelma sebagai ‘permata tersembunyi’ dengan keindahan alam semula jadi, keunikan struktur geologi dan pelbagai aktiviti air yang tidak ditawarkan di mana-mana tempat lain di Malaysia.
Dari projek banjir ke tarikan pelancongan

Segalanya bermula daripada satu tragedi. Banjir besar yang melanda negeri Perlis pada tahun 2010 telah menenggelamkan hampir separuh daripada negeri ini, menyebabkan lebih 63,000 penduduk terjejas dan kerugian mencecah RM200 juta.
Tragedi itu mendorong pembinaan Terusan Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sepanjang 22.8 kilometer. Antara komponen utama projek ini ialah sebuah terowong sepanjang 765 meter yang menembusi Banjaran Nakawan dan berakhir di Kuala Perlis.
Namun, siapa sangka, terowong banjir ini akhirnya menjadi tarikan pelancongan luar biasa apabila dijadikan laluan berkayak dan bot menyusuri bukit batu kapur yang berusia lebih 500 juta tahun, dikelilingi kehijauan air dan flora tropika yang asli.
Dalam diam, Tuhan gantikan derita itu dengan hadiah yang luar biasa. Terusan yang dibina untuk mengalirkan air banjir kini menjadi laluan keindahan.
Terowong yang ditembusi jentera berat suatu ketika dahulu, kini dipenuhi gelak tawa pengunjung dan pancaran lampu yang menggamit rasa kagum.
Pengalaman menelusuti 'time tunnel' dan alam separa mistik
Aktiviti utama yang ditawarkan di Kampung Wai ialah berkayak melalui terowong yang kini dikenali sebagai "Time Tunnel", terowong air terpanjang di Malaysia.

Pengalaman ini bukan sekadar kayuhan biasa tetapi merupakan satu pengembaraan visual dan emosi. Terowong yang sunyi dan bergema itu dihiasi lampu berwarna-warni dan lagu iringan menjadikan perjalanan seakan-akan berada dalam dunia animasi Disney.
Sebaik keluar dari terowong, kita akan disambut oleh kawasan yang digelar “Jurassic World”, iaitu hutan semula jadi yang masih belum terusik lengkap dengan bunyi burung, monyet dan rumah lama misteri.
Di bahagian ini juga terdapat tebing batu kapur menjulang yang menyerupai Grand Canyon, lalu dinamakan pengunjung sebagai “Mini Grand Canyon Perlis”.
Ekonomi yang mula berkembang
Lawatan ke sini sempena Ulangtahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Isnin lalu memberi kesempatan kami menjengah sendiri keindahan tempat ini.

Kami sempat menemu bual Mizan Nordin, 46, dan isterinya, Zanasuzilawati Zakaria, 44, yang berkongsi pengalaman berniaga di Warung Nuffa sejak sebulan yang lalu.
Warung mereka yang menjual menu-menu sedap seperti laksa, mi dan bihun sup sejak sebulan yang lalu sering menjadi tumpuan pengunjung, terutama pada hujung minggu.
Menurut mereka, Kampung Wai kini turut menjadi lubuk rezeki baharu buat penduduk setempat.
Kini lebih 20 peniaga kini membuka gerai di kawasan itu, khususnya dari hari Jumaat hingga Ahad.
Jumlah pengunjung boleh mencecah lebih 500 orang sehari, menyebabkan kawasan parkir sering penuh hingga ke jalan besar.
Mereka juga mengakui masih ada kekangan seperti ketiadaan bekalan air dan elektrik tetap yang antara lainnya menyebabkan operasi terhenti pada waktu malam.
“Sejak kami mula sebulan lepas, tak sangka dapat sambutan luar biasa. Cuma, kalau ada bekalan air dan elektrik, kami boleh buka sampai malam. Kasihan juga mereka yang datang tetapi terpaksa cepat-cepat pulang bila malam menjelang,” kata Mizan dengan mata bersinar penuh harapan.
Mizan berkata, kawasan ini dipunyai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis.
Untuk itu, pengusaha warung sedang dalam proses membuat persatuan bagi melancarkan gerak kerja mereka dengan pihak JPS dan Kerajaan Negeri Perlis.
Seorang pengusaha bot, Mohd Hanif Ahmad, 28, yang berasal dari Simpang Empat memberitahu, beliau mula mengusahakan perkhidmatan bot lebih dua tahun lalu.
Dengan empat buah bot yang beroperasi secara bergilir, purata 10 trip sehari dilakukan, membuka peluang pekerjaan kepada pemuda kampung sekitar.
“Tempat ini hanya bermula dengan kayak, kemudian bila ia mendapat sambutan kita beralih pula kepada bot. Sekarang kita ada empat bot dimiliki pengusaha berbeza dan setiap bot boleh buat lebih 10 trip sehari. Yang penting, ramai anak muda kampung dapat kerja,” katanya bangga.
Beliau yang juga Bendahari Kelab Ekopelancongan & Rekreasi Perlis turut memuji usaha kerajaan negeri membina surau, tandas dan parkir awam, namun mengharapkan agar pelan penambahbaikan dapat dipercepatkan.
Lawatan pemimpin negeri: Isyarat keseriusan pembangunan
Komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan Kampung Wai memang ada.
Pada 5 November 2023 umpamanya team promosi Menteri Besar Perlis yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak, ada berkunjung ke sana sebagai satu program promosi Tahun Melawat Perlis 2024.
Pada 5 Disember 2024 pula, Exco Pelancongan, Abu Bakar Hamzah, membuat perjumpaan bersama pengusaha.
Pada 8 Januari 2025 pula, Datuk Rahimi Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah melawat kawasan tersebut bersama-sama Pegawai Kewangan Negeri, Zepri Saad, dan Exco Pelancongan, Abu Bakar Hamzah.
Mereka menaiki perahu panjang menyusuri Sungai Lencongan Banjir Barat untuk meninjau potensi dan keperluan pembangunan pelancongan kawasan ini.
Lawatan itu disusuli dengan beberapa mesyuarat libat urus bersama Kelab Ekopelancongan dan Rekreasi Perlis, persatuan pengusaha dan agensi teknikal.
Antara hasilnya ialah rancangan membina dataran baharu, kawasan parkir yang lebih tersusun serta mewujudkan persatuan peniaga tempatan bagi mengurus yuran dan kebersihan.
Mohd Hanif khususnya memuji pihak JPS Negeri Perlis yang diketuai Pengarahnya, Amir Budiman Abdullah, yang beberapa kali membuat mesyuarat perancangan dan perlaksanaan bersama Kelab Ekopelancongan & Rekreasi Perlis.
Cabaran yang perlu diatasi
Walaupun berpotensi besar, Kampung Wai masih berdepan beberapa kekangan:
1. Kemudahan asas terhad – tiada bekalan elektrik dan air tetap untuk gerai menyebabkan waktu operasi terhad hingga 7 petang sahaja.
2. Laluan jalan sempit – jalan kampung ke kawasan gerai belum diturap, menyukarkan mesin padi melintas dan parkir menjadi sesak.
3. Ketiadaan aktiviti malam – tiada lampu hiasan sepanjang terusan dan tiada pasar malam menyebabkan kampung ini 'mati' pada waktu malam.
4. Navigasi pelawat mengelirukan – Waze dan Google Maps membawa ke lokasi sempit kampung, bukan dataran gerai. Penjenamaan lokasi perlu lebih jelas.
Sebagai langkah penambahbaikan, beberapa cadangan berikut perlu dipertimbangkan:
• Naik taraf jalan dan sistem parkir – termasuk tar dan luaskan beberapa jalan di sekeliling dan bina laluan khas untuk jentera sawah.
• Bekalan elektrik dan air serta tandas awam lengkap – membolehkan peniaga beroperasi lebih lama dan lebih selesa.
• Lampu lip-lap di sepanjang terusan dan dalam terowong – menjadikan bot malam sebagai tarikan eksklusif.
• Pasar malam dan chalet tepi terusan – menggalakkan aktiviti ekonomi waktu malam dan penginapan pelancong.
• Waterfront dan taman permainan kanak-kanak – menjadikan kawasan lebih mesra keluarga.
Pilihan aktiviti bermakna
Antara aktiviti yang ditawarkan di Kampung Wai ialah pakej-pakej menarik yang sesuai untuk pelbagai lapisan pengunjung.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman penuh menyelusuri terowong air terpanjang di Malaysia, terdapat pakej kayak terowong yang ditawarkan pada harga RM69 seorang, lengkap dengan pemandu, dan mengambil masa sekitar tiga jam.
Bagi mereka yang lebih gemarkan aktiviti ringan dan santai, kayak santai turut disediakan pada kadar RM10 seorang untuk sesi berdurasi 30 minit.
Selain itu, terdapat juga pilihan bot itik yang unik dan mesra keluarga, berharga RM25 bagi setiap trip selama 30 minit.
Untuk pengalaman menyelusuri terusan secara lebih selesa, pengunjung boleh memilih bot santai pada harga RM50 satu trip untuk tempoh 30 minit.
Di samping itu, bagi mereka yang ingin menikmati keindahan kampung dengan cara berbeza, perkhidmatan buggy berwarna-warni turut disediakan, dengan kadar RM35 untuk satu trip mengelilingi kampung.
Semua aktiviti ini bukan sahaja menawarkan hiburan dan keindahan, tetapi juga pengalaman yang unik dan berbaloi, menjadikan Kampung Wai destinasi yang wajib dikunjungi di utara Semenanjung.
Dari terusan banjir ke ikon pelancongan
Kampung Wai adalah contoh terbaik bagaimana sesuatu yang dibina untuk mitigasi bencana boleh ditransformasi menjadi destinasi pelancongan yang luar biasa.
Dengan landskap semula jadi yang menakjubkan, kreativiti pengusaha muda dan sokongan kerajaan negeri, Kampung Wai kini muncul sebagai bintang baru pelancongan utara tanah air.
Namun, kejayaan penuh hanya boleh dicapai dengan penyelarasan antara agensi, pengusaha dan komuniti tempatan.
Dengan semangat kerjasama dan pelan pembangunan yang mampan, tidak mustahil Kampung Wai akan menjadi ikon pelancongan Perlis yang setanding dengan destinasi terkenal lain di Malaysia.
Bukan setiap hari kita dapat mendayung di bawah bukit batu kapur berusia 500 juta tahun.
Bukan setiap hari kita boleh melihat kampung bangkit dengan tangan rakyatnya sendiri.
Dan bukan setiap hari kita mampu berkata, “Aku telah melihat keindahan yang tidak pernah aku sangka wujud, di Kampung Wai.”
** Dr Kamarul Zaman Yusoff ialah pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
