Manfaat alam semula jadi

Kejayaan itu diiktiraf apabila kampung tersebut dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Sejahtera 2024 dan tempat ketiga bagi Anugerah Sejati Madani hasil kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung dan penduduk setempat.
Pengerusi JPKK Kampung Telaga Nenas, Mohamad Isa Hussain berkata, anugerah yang membawa pulang hadiah RM10,000 itu merupakan pencapaian pertama kampung berkenaan hasil penyatuan tenaga semua pihak.
“Kita gunakan anugerah yang ALLAH beri kepada kampung ini iaitu terletak di tepi laut untuk membangunkan projek kelong memancing.
“Ia bukan hanya memberi manfaat kepada pengusaha kelong, tetapi juga kepada masyarakat yang terlibat secara langsung seperti pengusaha kedai makan, pembekal umpan, penyewa sampan dan kedai runcit,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Isa berkata, sebanyak dua kelong diusahakan oleh JPKK manakala selebihnya kira-kira 15 kelong dimiliki penduduk kampung yang melihat potensi pelancongan memancing di kawasan tersebut.
Menurutnya, kampung itu kini dikenali sebagai ‘lubuk siakap’ dalam kalangan kaki pancing sekali gus menjadikan ia tarikan baharu kepada pelancong dan peminat aktiviti memancing dari luar.

Jelas Mohamad Isa, inisiatif dilakukan JPKK itu berjaya memberi manfaat kepada 250 penduduk kampung itu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut termasuk Koperasi Telaga Nenas Berhad yang banyak membantu dari segi pelaksanaan.
Beliau turut menegaskan pengurusan kewangan dan integriti perlu diberi perhatian serius untuk mengekalkan kejayaan menjadi Johan Anugerah Desa Cemerlang itu.
“Kita beri penekanan kepada pengurusan kewangan yang sistematik. Geran yang diterima tidak boleh dibelanjakan sekali gus, sebaliknya perlu dilabur semula untuk penyelenggaraan dan kelangsungan projek seperti baik pulih kelong, bot dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menyediakan kursus pengurusan kewangan dan memberi pendedahan berkaitan integriti termasuk ceramah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memperkasakan tadbir urus projek komuniti.
Kejayaan Kampung Telaga Nenas menjadi bukti bahawa dengan perancangan strategik dan pengurusan yang cekap, sumber alam semula jadi mampu menjadi pemacu pembangunan ekonomi desa secara mampan selari dengan Prinsip Ketiga di dalam pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Kelestarian Penggunaan Sumber dan Alam Semula Jadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
