MPHS pantau projek RMK12 di Bukit Batu Pahat

Julaihah (depan tengah) bersama pegawainya mengadakan lawatan di tapak sukan udara Bukit Batu Pahat di sini bagi pemantauan pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah RP5 RMK12.
Julaihah (depan tengah) bersama pegawainya mengadakan lawatan di tapak sukan udara Bukit Batu Pahat di sini bagi pemantauan pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah RP5 RMK12.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengadakan lawatan di tapak sukan udara Bukit Batu Pahat di sini bagi pemantauan pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) pada Isnin.

MPHS dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu bertujuan memastikan pelaksanaan projek memenuhi keperluan spesifikasi teknikal dan berjalan mengikut jadual perancangan ditetapkan.

Menurut MPHS, lawatan itu diketuai Yang Dipertuanya, Julaihah Jamaludin yang turut disertai pengarah dan ketua jabatan teknikal dari pelbagai jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Kehadiran pelbagai pihak teknikal ini bertujuan untuk memastikan aspek teknikal, perancangan dan pengurusan projek dapat diteliti secara menyeluruh.

"Pemeriksaan tapak dimulakan dengan tinjauan terhadap struktur fizikal tapak projek, meliputi penilaian terhadap sistem saliran, keadaan laluan akses serta potensi pembangunan landskap di kawasan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

MPHS memaklumkan, tinjauan itu turut mengambil kira aspek keselamatan tapak dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan projek tidak memberi kesan negatif kepada persekitaran semula jadi.

"Semasa perjalanan turun dari kawasan bukit, rombongan meneruskan pemeriksaan dengan berjalan kaki bagi membolehkan penilaian yang lebih teliti dilakukan terhadap keadaan laluan serta risiko berkaitan.

"Antara risiko itu termasuk kemungkinan berlaku hakisan, aliran air semula jadi dan aspek keselamatan jalan yang akan digunakan," jelas kenyataan itu.

Menurut MPHS, semua langkah itu diambil bagi memastikan segala potensi risiko dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan mitigasi dapat dirancang dengan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia juga dapat mengenal pasti keperluan tambahan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar, mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan, serta memenuhi kehendak perancangan bandar yang mampan," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!