19 kambing rentung, empat kenderaan terbakar

BAYAN LEPAS – Sebanyak 19 ekor kambing terkorban dalam kebakaran membabitkan sebuah kandang penternakan di Kampung Jawa, di sini pada Isnin.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.58 tengah hari itu turut memusnahkan tiga buah kereta dan sebuah lori yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kebakaran dari orang awam.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mendapati sebuah kandang ternakan kambing seluas anggaran 9.14 x 9.14 meter persegi sedang marak terbakar.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.07 petang dan berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
John Sagun berkata, kandang yang terbakar itu mengalami kemusnahan hampir 90 peratus dan hanya seekor kambing yang diternak berjaya diselamatkan.
Menurutnya, tiga kenderaan yang terjejas dalam kejadian itu melibatkan sebuah Honda City, Honda Civic, Proton Wira dan sebuah lori.
"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

