Kenyataan pemimpin DAP boleh jejas keharmonian Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM – Kenyataan seorang pemimpin DAP yang mencadangkan agar MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan disifatkan berpotensi besar menjejaskan ikatan yang terbina atas dasar persefahaman dalam pembentukan kerajaan tersebut.
EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak membantu, malah memburukkan lagi keadaan dalam suasana yang seharusnya dijernihkan.
“Ia menggambarkan seolah-olah masih ada parti yang lebih gemar bermain dengan sentimen kuasa dan kedudukan daripada menunjukkan kematangan dalam memimpin bersama.
“Politik perpaduan bukan sekadar slogan. Ia menuntut kesediaan untuk bersabar, berlapang dada dan sentiasa mengutamakan rakyat melebihi parti. Jika semua sibuk hendak ‘suruh keluar’, maka apa bezanya kita dengan zaman politik kucar-kacir yang lalu?” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Beliau turut menyatakan bahawa individu berkenaan mungkin terlupa amanah yang dipikul bersama sebaik sahaja masing-masing bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Amanah itu bukan kecil – ia amanah daripada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat yang mahu melihat politik matang, politik yang menyelesaikan masalah rakyat, bukan menambah masalah sesama parti.
“Apakah kenyataan tersebut mampu menyelesaikan masalah rakyat? Masalah subsidi tong gas? Masalah kiosk peniaga yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat setempat dan pelbagai lagi isu?
“Adakah apabila MCA dilihat sebagai sebuah parti yang kini aktif bersama rakyat, ia menjadi satu ancaman kepada DAP?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan agar kembali kepada asas perpaduan, iaitu politik berteraskan nilai dan akhlak.
“Jika benar kita ikhlas mahu melihat negara ini maju, aman dan dihormati, maka semua pihak termasuk DAP mesti berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh meretakkan kepercayaan sesama komponen.
“Kepimpinan bukan soal siapa paling kuat suara. Kepimpinan adalah siapa paling besar jiwa. Jiwa yang besar tahu menyatukan, bukan menyingkirkan.
“Buktikan bahawa Kerajaan Perpaduan ini bukan sekadar gabungan parti, tetapi gabungan jiwa yang besar demi masa depan rakyat dan negara tercinta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
