X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB mahu KSM sedia pelbagai inisiatif berbentuk geran

Rizan Hassan - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menyambut baik pelantikan Datuk Seri M Saravanan dan Awang Hashim menerajui Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai menteri dan timbalan menteri.

Setiausaha Agung PKPB, Mohamad Rizan Hassan berkata, PKPB mengharapkan Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan pelbagai inisiatif berbentuk geran atau bantuan dana percuma dan latihan kemahiran tidak formal kepada golongan belia yang tercicir dari pekerjaan.

"PKPB berharap pendidikan dan latihan formal atau istilah yang lebih dikenali Not in Employment, Education and Training (NEET) dapat diberikan segera.

"Langkah ini amat mustahak dilaksanakan dalam membantu golongan NEET yang sememangnya terkesan dengan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini," katanya.

Menurutnya, golongan NEET dikenali sebagai kelompok belia yang tercicir dari arus pembangunan iaitu belia yang tidak tergolong dalam guna tenaga, tidak terlibat dengan sebarang program pendidikan dan tidak mengikuti sebarang program latihan kemahiran.

"Kami berharap pihak industri mempunyai semangat nasionalisme Malaysia yang tinggi melalui jalinan kerjasama dengan penyedia latihan atau badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan NEET dalam kalangan belia supaya dapat mengharungi cabaran ekonomi hari ini.

"PKPB akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada menteri dan timbalan menteri menerajui KSM di samping sedia memberikan khidmat sosial menarik minat golongan NEET untuk bersama bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial yang lebih baik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus