SWCorp laksana Projek Rintis Jalan Tanpa Debu sempena ASEAN

Langkah berkenaan sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan ibu negara menjelang penganjuran acara-acara antarabangsa di bawah ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed berkata, projek rintis yang dilaksanakan dengan kerjasama Alam Flora menerusi dua kaedah iaitu sapuan sampah secara manual dan pembersihan jalan dengan menggunakan pam air bertekanan tinggi.

Menurutnya, projek rintis berkenaan penting dalam usaha menjadikan ibu negara lebih bersih dan bebas habuk menjelang penganjuran acara-acara antarabangsa tahun ini.
Beliau berkata, projek ini adalah antara usaha terbaharu dalam landskap pembersihan jalan dan berpotensi menjadi penanda aras baharu bagi kerja-kerja pembersihan di bandar.

"Fokus utama adalah memastikan jalan bukan sahaja bebas daripada sampah, tetapi juga habuk, pasir serta najis burung yang sering mencemari kawasan bandar.
“Pendekatan kali ini lebih menyeluruh kerana kami gabungkan cucian dan pembersihan serentak, yang memberikan impak ketara kepada kualiti persekitaran,” katanya kepada wartawan Sinar Harian selepas meninjau perjalanan projek rintis berkenaan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau mendapat idea untuk melaksanakan projek berkenaan selepas mengadakan lawatan ke negara China baru-baru ini.
Beliau berkata, model pembersihan bandar di China yang menggunakan mesin canggih bagi mencuci dan menyedut kekotoran tanpa mencemarkan permukaan jalan.
"Walaupun Malaysia masih bergantung kepada kaedah manual, hasil percubaan awal menunjukkan perubahan yang sangat positif.

“Teknologi dari luar negara seperti China memang terbukti berkesan, namun kosnya masih dalam kajian kerana melibatkan penggunaan kenderaan khas bernilai tinggi,” jelas beliau.
Katanya, dengan Kuala Lumpur kini menjadi tuan rumah pelbagai mesyuarat dan program di bawah payung ASEAN, usaha ini turut dilihat sebagai langkah penting dalam mempertingkatkan imej negara di mata pelancong dan delegasi asing.
“Pelancong asing menjangkakan tahap kebersihan setanding negara maju. Kami ambil cabaran ini untuk memastikan kawasan tumpuan pelancongan kita bersih dan selesa dikunjungi,” tambah beliau.

Seorang pengunjung, Mohd Haris Othman menyambut baik inisiatif dilaksanakan untuk membersihkan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur dari sampah sarap dan habuk.
"Projek rintis dilaksanakan SWCorp ini menyebabkan Jalan Raja Laut nampak lebih elok, bersih dan terjaga sekaligus membolehkan orang ramai dan pelancong asing berjalan dalam keadaan lebih selesa di sekitar ibu negara," katanya.
Seorang lagi pengunjung Caron Loh berkata, beliau gembira kerana SWCorp mengambil inisiatif sama seperti diamalkan di negara maju seperti China dan Jepun.

"Langkah ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia terutama untuk menyertai acara larian yang sering kali dianjurkan di sekitar Dataran Merdeka dan ibu negara.
"Pembersihan debu, habuk dan batu kecil juga dapat mengelakkan peserta terjatuh dan mengalami kecederaan ketika menyertai acara larian di kawasan terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
