Polis siasat aktiviti ‘kingpin’ India di Malaysia

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pergerakan aktiviti seorang lelaki warga India dipercayai ‘kingpin’ (raja dadah) selepas ditahan di sebuah hotel di ibu negara, 13 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti pergerakan lelaki berusia 35 tahun terbabit sepanjang di negara ini biarpun sudah dihantar pulang ke negara asalnya pada 27 Mei lalu.
Menurutnya, polis sedang menyiasat individu yang bertemu dengan suspek, lokasi yang dikunjungi serta tujuan sebenar dia berada di Malaysia.
“Kita tidak mahu mengambil risiko. PDRM tidak akan membenarkan mana-mana pihak asing datang ke Malaysia untuk menubuhkan rangkaian pengedaran dadah atau menjalankan urus niaga dadah di negara ini,” katanya pada Ahad.
Razarudin berkata, tindakan lanjut dan risikan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Pada Sabtu, media tempatan melaporkan kejayaan penahanan suspek di sebuah hotel di ibu negara 13 Mei lalu selepas diburu pihak berkuasa kerajaan India.
Penahanan lelaki berusia 35 tahun itu dilakukan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sebuah bilik hotel pada jam 1.35 pagi.
Razarudin dilaporkan berkata, lelaki berkenaan disenaraikan sebagai individu dikehendaki atau penjenayah buruan oleh kerajaan India.
Lelaki itu dipercayai berada di Malaysia sejak awal tahun ini dengan menggunakan pas pelancong.
Terdahulu The Indian Express melaporkan ketua sindiket dadah antarabangsa ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) India selepas diekstradisi dari Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
