Dua suspek kes serangan asid boleh dipanggil semula untuk siasatan

KOTA BHARU - Dua individu dipercayai terlibat dalam kes serangan asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok pada 17 Mei lepas boleh dipanggil semula untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, wanita berusia 38 tahun dan lelaki berumur 45 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 28 Mei lepas.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.
"Polis juga belum menerima laporan lengkap daripada Jabatan Kimia dan Makmal Forensik berkaitan cecair dipercayai asid yang digunakan dalam serangan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada 17 Mei lepas, dalam kejadian sekitar jam 8.30, mangsa diserang oleh tiga individu yang menyamar sebagai pelanggan semasa berada di spa tersebut.
Sebelum kejadian, mangsa menerima tempahan perkhidmatan spa melalui mesej WhatsApp daripada suspek wanita, namun, semua mesej tempahan tersebut dipadam selepas kejadian.
Akibat kejadian itu, Nor Faziera mengalami kecederaan melecur teruk di bahagian bahu, belakang, lengan dan kaki dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan bahan berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
