Permohonan kekebalan Anwar timbulkan kebimbangan – Takiyuddin

SHAH ALAM – Permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kekebalan bersyarat daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther menimbulkan kebimbangan serius terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah Anwar itu menimbulkan persoalan besar kerana melibatkan dakwaan peribadi yang berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang disifatkan sebagai mengelirukan dan menyimpang daripada isu utama yang sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.
“Isunya adalah kekebalan daripada tindakan sivil atas dakwaan peribadi, bukan semasa memegang jawatan rasmi. Tiada sesiapa pun, termasuk Perdana Menteri, harus berada di atas undang-undang.
“Kedudukan seseorang dalam kerajaan tidak boleh dijadikan perisai untuk mengelak daripada bertanggungjawab terhadap tindakan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Takiyuddin turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019 dalam kes saman sivil Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ketika itu, mahkamah memutuskan bahawa Perdana Menteri adalah seorang pegawai awam dan tidak menikmati kekebalan daripada tindakan undang-undang atas dakwaan salah guna kuasa,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, permohonan yang dikemukakan oleh Anwar kini dilihat bercanggah dengan duluan kes tersebut serta boleh menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
“PN yakin bahawa mahkamah akan bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi kekebalan istimewa atau kedudukan politik.
“Kami akan terus menjadi juru bicara rakyat dalam memantau kes ini demi memastikan prinsip keadilan tidak dikompromi,” katanya.
Tambah beliau, PN kekal dengan pendirian bahawa prinsip pengasingan kuasa perlu dipertahankan dan semua tokoh politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, mesti bertanggungjawab atas sebarang tindakan, tanpa mengira jawatan yang disandang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
